Malaysia Dateline

Biar polis selesaikan pihak lain jangan masuk campur

Presiden Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid menyarankan supaya isu dua pengawal peribadi yang didakwa dipukul oleh majikan mereka kerana berpuasa diselesaikan oleh pihak Polis dan bukannya oleh pihak lain.

Tegasnya, isu ini telah mendapat perhatian pihak Polis dan tidak harus ada mana-mana pihak yang cuba mengambil tindakan sendiri diluar kuasa undang-undang.

“Adalah tidak wajar bagi mana-mana pihak mengeluarkan kata-kata ugutan kerana ia akan menambahkan lagi ketegangan keadaan. Malah kata-kata seperti mengisytiharkan perang dan mengepung kawasan tidak akan menyelesaikan masalah.

“Setelah pihak berkuasa seperti PDRM mulai bertindak, maka orang ramai sewajarnya menyerahkan siasatan kepada pihak berkuasa dengan pendekatan terbaik yang ada pada pihak berkuasa bagi melaksanakan amanah dan tanggungjawab tersebut.

“Semua pihak harus menyerahkan kepada pihak Polis untuk bertindak mengikut lunas undang-undang dan pihak yang berkaitan mengelak dari mengambil tindakan yang melanggar undang-undang kerana apa yang lebih penting ialah sisatan dan dakwaan serta hukuman yang setimpal keatas pesalah tersebut, ‘ jelas beliau yang juga merupakan Pengerusi Teras Pengupayaan Melayu (TERAS).

Kata Mohd Azmi lagi, semua pihak perlu sensitif dengan kepelbagaian ras dan agama dalam negara ini serta tindakan menyentuh maruah bangsa dan agama perlu dielakkan.

Tambah beliau, penahanan beberapa orang suspek yang didakwa terlibat dalam isu tersebut bagi membantu siasatan membuktikan kesungguhan pihak berkuasa bagi menjaga keselamatan semua pihak.

Maka itu saran beliau, sebarang spekulasi, perkongsian dan penyebaran sesuatu berita dari sumber yang tidak sahih perlu dielakkan kerana ia mampu untuk mencetuskan perbalahan dan pertelingkahan, sebaliknya keharmonian masyarakat berbilang kaum perlu dipelihara.