Malaysia Dateline

Biar tersalah pertahan ulama bukannya juhala’, kata ulama Pas

Mengimbas detik perpecahan Pas pada 2014, ulama Pas kontroversi, Mokhtar Senik menganggap lebih baik mempertahankan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang walaupun digelar ‘walaun’.

Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak Pas Pusat itu berkata, walak (kecintaan dan kesetiaan) kepada pemimpin parti bukan suatu yang salah sebaliknya sifat terpuji dalam berjamaah.

“Saya masih teringat waktu pimpinan PAN masih berada dalam Pas sekitar 2013 dan 2014. Mereka kritik keputusan TGHH (Tuan Guru Haji Hadi) secara terbuka atas nama kebebasan bersuara dan meraikan perbezaan.

“Bila saya menulis mempertahankan TGHH dan menyerang balas tulisan-tulisan mereka dan sikap mereka, lalu mereka kata saya walaun dan sebagainya. Lalu, saya jawab jikalah walak itu satu kesalahan.

“Maka, biarlah saya tersalah dalam mempertahankan ulamak daripada tersalah dalam mempertahankan juhala’ (orang jahil lawan kepada sifat ulama),” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Pendirian Mokhtar itu susulan kecaman sebahagian generasi muda ahli Pas terhadap pelantikan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nasruddin Hassan sebagai Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang baharu.

Nasruddin yang juga bekas Ahli Parlimen Temerloh dilantik menggantikan Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz ⁣berkuat kuasa 16 Julai lalu.

Mengulas lanjut, Mokhtar berpendapat rasa tidak puas hati itu didorong kerana penamatan kontrak Ustaz Nik Omar.

“Bagi musuh lantiklah siapa pun menduduki kerusi itu (Yang Dipertua YADIM) tetap tidak baik pada mata mereka.

“Yang betul pada mereka ialah kekalkan Nik Omar di situ sampai matahari naik dari sebelah barat.

“Jadi, sebenarnya bukan soal Ustaz Din yang mereka tidak setuju tapi ditamatkan kontrak Nik Omar itu yang mereka tidak setuju,” dakwa Mokhtar.

Sehubungan itu, bekas Ketua Dewan Ulama Pas Pahang tersebut mengingatkan ahli Pas harus menganggap pelantikan Nasruddin bagi menerajui YADIM sebagai keputusan jemaah dan restu pimpinan.

“Tapi kerana terbawa-bawa dengan kata-kata musuh, maka kita lupa itu semua. Berjamaah ini ada adab dan seninya.

“Daun mengkuang yang berduri dan tumbuh merata di tanah berpaya itu apabila dianyam dengan baik maka akan menjadi sebidang tikar yang cantik dan bermanfaat untuk semua.

“Ayuh, kita mempelajari seni itu dengan mengikuti program tarbiah,” kata Mokhtar yang juga pemilik Pondok Annur di Kampung Kuala Penor, Kuantan itu lagi.