Malaysia Dateline

‘Biarkan dulu pengkhianat, pencuri agihkan rampasan kerajaan tebuk atap’

Perikatan Nasional (PN) dibentuk secara tidak formal kebanyakannya oleh parti-parti yang kalah dan ditolak pengundi dalam PRU14. Merangkumi Umno, Pas, MCA, MIC dan GPS. Bersatu pula, ditambah bilangan sekali ganda ahli-ahli Parlimen Umno yang lompat parti, membuka pintu belakang kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan.

Saya ulang berkali-kali bahawa gabungan ini langsung tidak terikat dengan apa-apa manfesto pilihan raya atau ianji-janji pembaharuan kepada rakyat. Mereka mentadbir negara tanpa misi dan visi. Justeru, persoalan seperti melantik ahli parlimen atau politikus sebagai pengerusi atau lembaga syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bukan isu pun, malah langsung tak berkudis. Pakatan Harapan (PH) sendiri dilihat melanggar atau menangguhkan manifesto mereka, inikan pula kepada PN yang tidak mempunyai apa-apa komitmen reformasi institusi dan sebagainya.

Seperti diakui perdana menteri, PN bukannya kerajaan yang dihasratkan rakyat. Ia hasil perancangan licik, permainan wakil-wakil rakyat yang memperdagangkan undi rakyat sebagai komoditi berharga untuk kepentingan sendiri. Masih terikat kemas dalam ingatan, pengundi-pengundi beratur panjang di tengah panas 9 Mei 2018, sesetengahnya balik jauh dari perantauan demi dorongan melakukan perubahan. Malang sekali, belum pun melepasi separuh penggal, komplot politikus yang rakus-khianat meruntuhkan kerajaan pilihan rakyat. Dan kemudiannya berbangga kononnya mendirikan kerajaan Melayu-Muslim tanpa DAP.

Namun pada era pentadbiran terdahulu, sekurang-kurangnya rakyat boleh menuntut dan menagih iltizam pembaharuan PH dan kerajaan terpaksa mengeluarkan statistik peratusan manifesto yang sudah ditunaikan, untuk sesuatu tempoh, juga prestasi selepas 100 hari memerintah dan sebagainya. Rakyat juga dapat membayangkan destinasi yang dituju negara. Diperincikan bidang yang berjaya dilaksanakan, serta punca kegagalan janji tertentu dalam tempoh tertentu. Pengkritik, khususnya pembangkang bebas melemparkan tohmahan, termasuk mendakwa PH sebagai “pakatan hancing” ekoran tidak menunaikan segala janji. Walhal tempoh masa manifesto sebenarnya adalah sehingga berakhirnya penggal Parlimen.

Kini Muhyiddin Yassin hanya perlu puaskan penyokongnya dalam Dewan Rakyat agar beliau terselamat daripada usul undi tidak percaya nanti. Legitimasi beliau sebagai ketua kerajaan belum disahkan Parlimen. Namun, faktor masa lebih dilihat memihak kepada perdana menteri. Peluang untuk memperkukuh kedudukan terbuka luas. Kuasa seorang PM bagai sakti lampu Aladin. Senarai kuasanya begitu panjang. Dengan satu lorekan mata pena, mimpi bertukar menjadi realiti. Lagipun sidang Parlimen yang sepatutnya pertengahan Mac sudah ditunda lebih dua bulan bagi memberi ruang selesa untuknya membeli sokongan.

Wabak maut Covid-19 juga memberi kelebihan politik kepada Muhyiddin. Bukannya susah sangat pun untuk pastikan sekurang-kurangnya 112 ahli parlimen menyokongnya nanti. Keanggotaan menteri dan timbalan menteri sudah 70 orang, tinggal lagi lebihkurang 40 orang sahaja. Ghanimah akan difaraid kepada semua penyokong kerajaan. Kepentingan rakyat boleh ditangguhkan sekejap. Prioriti adalah memaku kesetiaan. Sumber kuasa akan dicairkan kepada pelbagai bentuk habuan, walaupun negara sedang berdepan krisis ekonomi yang dahsyat.

Dicampur dengan wakil rakyat yang diberi kedudukan istimewa dalam pelbagai potfolio, diikat elaun menarik, peruntukan selesa dan kemudahan menyenangkan, Muhyiddin dijangka tiada masalah untuk kekal jawatan dalam kerajaan tebuk atap itu. Jawatan baharu boleh sahaja diwujudkan demi menghargai sokongan berharga kepada perdana menteri. Ekonomi negara yang merudum dan terjejas teruk bukan halangan “untuk membalas budi”. Setiausaha Agung Pas sudah memaklumkan semua ahli Parlimennya akan diberi jawatan pengerusi GLC, selain lapan orang yang berjawatan menteri dan timbalan menteri. Dalil senang dicari, meskipun kontradik dengan idealisme silam. PM sedang membina kubu pertahanan yang kukuh, mengelak kerajaan tanpa mandat rakyat itu roboh di Dewan Rakyat nanti.

Lagipun majoriti rakyat sekarang diasak persoalan hidup mati, mereka tidak mahu kusutkan kepala dengan “isu-isu politik”. Orang ramai lebih memikirkan survival diri dan keluarga. Esok belum pasti ada pekerjaan atau tidak, cukup makan atau terpaksa mengemis bantuan, anak-anak boleh sambung belajar atau dapat pekerjaan?

Seringkali parti pemerintah mempunyai kelebihan dalam pilihan raya yang diadakan ketika negara menghadapi ancaman keselamatan. Misalnya PRU1964 selepas peristiwa konfrontasi dengan Indonesia, atau PRU1974 selepas tragedi 13 Mei 1969. Pandemik Covid-19 lebih tragis dan ngeri berbanding bencana lain yang pernah melanda. Ia juga memberi impak besar kepada seluruh planet bumi ini.

Malah saya perhatikan, kebanyakan pemimpin Pakatan Harapan, khususnya rakan-rakan dalam Parti Amanah Negara, seperti melancarkan gencatan senjata politik. Lebih tertumpu kepada usaha membantu dan menolong rakyat, dengan melancarkan aneka inisiatif meringankan beban hidup seharian, selain muncul dalam siaran FB live, menyampaikan tazkirah atau pesanan bermanfaat di musim berkurung PKP ini. Sememangnya ia langkah proaktif yang baik, meskipun sudah tidak berada di tampuk kuasa, kecuali di peringkat negeri tertentu.

Bagaimanapuh, tidak kurang pihak yang semacam kurang berpuashati dengan sikap pemimpin yang dilihat pasif atau kurang berani memberi reaksi proaktif terhadap hal-hal semasa, termasuk berkaitan wabak maut ini. Dalam masa sama, parti-parti yang berjaya merebut kuasa melalui pengkhianatan, dilihat memiliki kelebihan sebagai penguasa di waktu genting ini. Apa pun, rakyat dapat menilai prestasi menteri-menteri yang nampak bercelaru, dengan kenyataan saling bercanggah, menambah lagi kerisauan rakyat menempuh zaman tidak menentu ini.

II.

Semasa Barisan Nasional memerintah dahulu, ada mesyuarat majlis tertinggi BN. Waktu Pakatan Harapan mentadbir negara, ada mesyuarat majlis presiden PH. Sekarang, Perikatan Nasional mengambil alih kuasa melalui pintu belakang, tanpa memperolehi mandat rakyat terlebih dahulu, soalnya apa struktur organisasi PN, siapa kepimpinan tertingginya, apakah mereka ada jadual tetap untuk bermesyuarat terutama memutuskan polisi dan dasar negara?

Beberapa pimpinan utama Umno-Pas, sekutu utama PN tidak ada dalam Kabinet Muhyiddin-Azmin, seperti Zahid Hamidi, Mohamad Hassan (hatta pemegang jawatan dalam umno yang dilantik menteri seperti setiausaha agung, ketua penerangan pun digugurkan daripada jawatan parti) dan Abdul Hadi Awang, di mana mereka boleh menyuarakan pandangan dan nasihat terhadap kerajaan jika mesyuarat tertinggi PN tidak diadakan? Hadi sudah dilantik duta khas bertaraf menteri, tentu ada akses istimewa dengan perdana menteri; boleh secara langsung memberi teguran dan nasihat. Bukankan impiannya sejak lama untuk menjadi penasihat kerajaan?

PN juga rasanya belum diikat dengan apa-apa bentuk persefahaman dan kerjasama secara bertulis. Belum terjumpa deklarasi bersama yang dipersetujui semua parti dalam gabungan longgar itu. Umno secara terbuka tidak mengiktiraf kerajaan pintu belakang ini sebagai perkongsian kuasa di antara parti, tetapi hanya kerjasama ahli-ahli Parlimen tertentu. Pastinya, fokus dan target Umno lebih tertumpu kepada PRU15.

Okey, kita beri masa dan peluang lagi untuk mereka belajar mencari keserasian dan mengagihkan habuan. Mungkin juga Muhyiddin sendiri sibuk amat sangat dengan isu Covid-19 serta implikasi ekonominya dan tak sempat berfikir untuk Perikatan Nasional. Lagipun PN naik secara kudeta, tanpa manifesto, tanpa janji pilihan raya, maka mereka tidak terikat dengan apa-apa janji pembaharuan.

Kerajaan Melayu-Islam tanpa DAP sudah terbentuk. Tanpa Anwar Ibrahim yang menjadi boneka Amerika, Eropah, Freemason dan Singapura itu, ‘kan? Tiada lagi ancaman terhadap Melayu-Islam, ‘kan? Yang lain-lain, boleh ejas, ‘kan? Isu-isu LGBT, murtad, arak, kematian Adib, sekolah vernakular, Islam liberal, sudah senyap, ‘kan? Polemik pengurusan Tabung Haji telah selesai, ‘kan? Macam zaman dikuasai orang politik dulu, Pas pun berpuas hati, ‘kan?
Sudah sempurna sebuah impian, ‘kan?

Pengalaman semasa BN mentadbir dulu, majlis tertinggi gabungan itu sememangnya tidak berfungsi. Boleh dibilang dengan hari kekerapan mesyuaratnya. Yang lebih dominan dan menguasai adalah mesyuarat majlis tertinggi Umno. Mungkin itu antara faktor mereka agak janggal dan rimas dengan situasi Perikatan Nasional. Kedudukan parti-parti — Bersatu, Umno, Pas dan GPS — agak seimbang. Malah tiga parti Melayu itu akan bersaing di konstituensi hampir sama.