Malaysia Dateline

‘Biarlah anak muda laksana hak kebebasan bersuara’

Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Mohamed Hanipa Maidin menegaskan pihak polis tidak perlu menyiasat sekumpulan pemimpin tertinggi Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang mengadakan konvoi protes ke bangunan SPRM Putrajaya kelmarin.

Ahli Parlimen Sepang tersebut berpendapat aksi golongan muda terbabit masih di bawah peruntukan Perlembagaan.

“Biarlah anak muda laksanakan hak kebebasan berhimpun secara aman dan hak kebebasan bersuara yang merangkumi hak untuk protes secara aman.

“Selagi mana seseorang laksanakan hak mereka secara aman, tak guna senjata hormatilah hak mereka di bawah Perlembagaan,” katanya.

Kelmarin, empat pemimpin tertinggi AMK terlibat dalam konvoi ‘Protes Selamatkan SPRM’ disertai 50 unit kenderaan ke bangunan SPRM Putrajaya untuk menyerahkan memorandum mendesak pengunduran Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Mengulas lanjut, Hanipa yang juga merupakan peguam berkata, tindakan intimidasi dari pihak polis untuk aksi unjuk rasa tanpa perlakuan jenayah sama sekali tidak harus berlaku.

“Malaysia dah masuk tahun 2022, dah sampai masa untuk tidak criminalise pelaksanaan hak asasi secara aman.

“Tidak perlu ada sebarang intimidasi daripada pihak polis,” tegas Hanipa lagi.