Malaysia Dateline

Biarlah Umno-Pas saling mentarbiah

Heboh seantero negara tentang kerjasama Umno-Pas yang dianggap boleh menggugat penguasaan Pakatan Harapan (PH) di kawasan-kawasan majoriti Melayu.

Menurut congakan atas kertas berdasarkan keputusan pilihan raya umum (PRU) lalu, sekitar 30 kerusi parlimen yang kini diwakili parti-parti gabungan PH bakal ‘terancam’ dengan wujudnya kerjasama Pas-Umno itu.

Paling teruja dengan congakan atas kertas itu tentulah Pas kerana teori ‘king maker’ yang dijaja sebelum PRU ke-14 lalu nampaknya tidak kesampaian. Bertanding di 160 kerusi parlimen – paling banyak dalam sejarah penyertaan dalam PRU negara – Pas hanya mampu menang 18 kerusi parlimen, meneruskan pemerintahan di Kelantan dan berjaya merampas kembali Terengganu. Itu lebih baik berbanding congakan pengasas Invoke yang juga Naib Presiden Keadilan, Rafizi Ramli bahawa parti itu akan kalah teruk termasuk di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Lupakan dahulu politik angka itu. Dalam politik Melayu, angka tidak sepenting sentimen. Parti mana yang menguasai sentimen Melayu, merekalah yang dapat sokongan kelompok Melayu. Seperti komen pensyarah kanan Universiti Malaya, Prof Emiritus Datuk Abu Bakar A. Hamid, “Melayu mengundi secara sentimen, Cina mengundi secara strategi”.

Dengan sentimen yang tinggi inilah maka kerjasama politik (perkahwinan politik) antara Pas dan Umno ini disambut gembira sebahagian orang Melayu dengan harapan ia akan “mengembalikan ketuanan Melayu dan Islam” di negara ini.

Biarlah sentimen itu terus menular kerana itu pilihan rakyat dalam sebuah negara demokrasi. Daripada bantah membantah dan memandang serong persepakatan politik itu, apa salahnya jika kita melihat sisi positifnya.

Peluang Umno tarbiyahkan Pas

Antara sisi positif kerjasama Pas-Umno ini adalah hubungan silang budaya antara kedua parti. Kita amat berharap Pas dapat mempelajari beberapa sisi positif Umno daripada hubungan kepartian ini, begitu juga dengan Umno.

Lupakanlah ciri intergriti, transparensi dan bebas rasuah daripada kedua-dua buah parti Melayu itu sebab ia akan menjadi pertikaian umum. Apatah lagi pemimpin muda Pas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz sendiri mengakui Pas menerima dana daripada Umno untuk membiayai aktiviti politik parti itu.

Apa yang boleh kita syukuri daripada ‘pernikahan’ Pas-Umno ini adalah hakikat bahawa Pas adalah sebuah parti politik dan bukannya ‘parti agama’. Menyertai Pas bukan bermaksud pegangan Islam seseorang itu akan menjadi lebih sempurna, atau meninggalkan Pas menjadikan Islam seseorang itu kurang sempurna.

Pas sebenarnya sama seperti Umno. Ia sebuah platform politik untuk orang Melayu beragama Islam seperti juga Umno. Tuduhan kononnya Umno adalah parti yang tidak sempurna Islam kerana “mengekalkan peraturan, undang-undang dan perlembagaan penjajah” hanyalah dakyah politik untuk memburukkan parti itu. Apa yang jelas, Pas dan Umno punyai banyak persamaan kerana majoriti anggota dua parti itu dari bangsa yang sama dan agama yang sama.

Umno juga boleh membantu mengubah imej Pas yang nampak ‘kearaban’ kepada ‘kemelayuan’. Itu lebih sesuai dengan realiti negara ini yang terletak dalam kepulauan Melayu. Memang ada usaha di kalangan generasi muda Pas untuk ‘memelayukan’ parti itu. Namun ia terhad kepada busana Melayu yang dipakai elit pemuda parti itu dalam muktamar tahunannya beberapa tahun lalu.

Diharap Umno dapat mempercepatkan proses ‘memelayukan’ Pas khusus cabang muslimatnya yang sekarang ini dilihat agak ‘kearaban’ sifatnya. Sesekali tidak salahnya mengadakan program bersama memperkasakan budaya Melayu dengan mempelajari tarian inang, zapin, gamelan, hadrah dan canggung. Di masa yang sama Wanita Umno perlu mendidik Muslimat Pas untuk lebih menghargai busana Melayu seperti kebaya labuh, baju kurung, baju Riau dan sebagainya daripada terangkap dalam jubah Arab dan tudung labuh yang sekali dilihat seperti ‘khemah bergerak’. Tidak salah berbusana Melayu asalkan menutup aurat!

Sistem dua parti

Kerjasama politik Pas-Umno juga hampir merealisasikan impian sistem dua parti di negara ini. Sistem dua parti akan menggalakkan budaya semak dan imbang dalam pentadbiran negara. Ia juga mampu mengurangkan pergeseran politik dan memberi ruang yang lebih luas untuk parti pemerintah memberi fokus kepada pembangunan negara.

Parti politik hanyalah platform dan wadah untuk mendapatkan kuasa pemerintahan dan bukannya menjadi penentu sama ada ia lebih Islam atau lebih diredhai Allah SWT.

Sikap Pas terutama presidennya yang begitu mesra BN diharap dapat menghakis sikap memperalatkan agama untuk kepentingan politik. Diharap tidak ada lagi tuduhan kononnya pakatan politik tertentu berciri ‘kumpulan Ahzab’ kerana wujud parti dominasi bukan Islam sebagai anggotanya. Ini kerana BN juga punyai anggota parti bukan Islam iaitu MCA dan MIC.

Presiden MIC baru-baru ini mengakui bahawa parti pimpinannya tidak mempunyai sebarang masalah dengan pemaufakatan politik antara Pas dan Umno. MCA yang pada mulanya menentang kerjasama Pas-Umno dan mengugut mahu membubarkan BN akhirnya akur bahawa nasib parti kaum Cina itu bergantung kepada BN. Presiden MCA Wee Ka Siong sendiri menegaskan bahawa partinya terbuka untuk bekrjasama dengan Pas dalam isu tertentu.

“Pendirian MCA jelas. Kita perlu memantau agar semangat BN adalah mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

“Dalam mesyuarat (ahli majlis tertinggi BN), kita sudah kata berulang kali: Kita tak ada masalah untuk bekerja dengan mana-mana parti termasuk Pas jika ia demi kepentingan rakyat,” katanya pada sidang media, 8 Mac lalu.

Malah Presiden Pas sendiri telah meminta ahli dan penyokong parti itu memilih calon MCA dalam pilihan raya kecil (PRK) Balakong baru-baru ini. Apa juga retorik Presiden Pas untuk dijadikan alasan menghalalkan sokongan terhadap MCA bukan menjadi persoalan. Yang penting pemimpin ‘parti Islam’ itu menyedari bahawa parti-parti bukan Islam juga boleh diundi dan para pemimpinnya berhak memimpin kerajaan.

Kesimpulannya, kesediaan Pas untuk menjalinkan hubungan politik dengan Umno dan BN patut disambut baik oleh rakyat negara ini. Ia bukan satu tindakan ganjil yang menyalahi kebiasaan. Ia sepatutnya telah lama berlaku demi kebaikan rakyat dan masa depan negara.

Penyertaan Pas dalam kelompok BN akan meleburkan sikap fanatik, jumud dan melulu parti itu khususnya ketika berhadapan dengan isu-isu membabitkan sentimen bangsa dan agama. Umno punyai tanggung jawab besar bagi mentarbiah kawan baru politiknya itu. Ia bukan tugas mudah.

Soal sama ada majoriti rakyat boleh menerima pakatan politik baru ini adalah topik yang berbeza. Ia perlukan “Sembang Serambi” yang lain.