Malaysia Dateline

Biarlah Umno runtuh dahulu, kata Salahudin Ayub

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Salahudin Ayub mahu Umno runtuh dahulu sebelum memikirkan apakah bekas pemimpin parti itu akan menyertai mana-mana parti dalam Pakatan Harapan.

“Biarlah Umno runtuh dahulu, yang lain kemudian,” kata Salahudin kepada media ketika ditemui di Konvensyen Nasional AMANAH ke 3 dekat Ipoh petang semalam.

Beliau yakin, apa yang berlaku dalam Umno sekarang akan meruntuhkan parti itu.

Salahudin mengulas apakah sikap AMANAH terhadap tindakan pemimpin Umno yang meninggalkan parti itu secara beramai-ramai.

Sebahagian besar pemimpin DAP menolak cadangan untuk menerima keseluruhan pemimpin Umno ke dalam PH namun bersetuju untuk menerima mana-mana pemimpin yang bersih.

Enam ahli Parlimen Umno dari Semenanjung meninggalkan parti itu semalam, manakala lima dari Sabah sehari sebelumnya bersama beberapa wakil rakyat negeri.

Surat makluman keluar parti dari enam ahli parlimen Umno.

Enam ahli Parlimen itu ialah Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Dr Latiff Ahmad (Mersing), Shabudin Yahya (Tasek Gelugor), Hamzah Zainuddin (Larut) dan Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam), selain Ikmal Hisham Abd Aziz (Tanah Merah) yang mengumumkan keluar parti pagi tadi.

Pemimpin Umno yang keluar lebih awal dan dikira bersih tanpa sebarang kesalahan jenayah ketika bersama Umno dahulu mula diterima menyertai parti-parti Pakatan Harapan (PH) khasnya Bersatu.

Antaranya Datuk Seri Mustapha Mohamad, bekas Pengerusi Umno Kelantan dan Datuk Mas Ermiyati, bekas ketua puteri Umno.

Desakan agar Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan semakin ketara.

Tun Dr Mahathir Mohamad pula berkata, Bersatu sedia menerima ahli Umno ini jika mereka bebas dari sebarang kesalahan jenayah.

“Saya juga ahli Umno dulu, Kit Siang terima saya” kata Mahathir, “ada juga pemimpin Umno yang baik,” tambah beliau.

Tengahari semalam, Presidennya Mohamad Sabu dalam sidang medianya berkata AMANAH akan membincangkan perkembangan dalam Umno ini dalam partinya dan juga di kalangan rakan-rakan dalam Pakatan Harapan (PH).

“Sekiranya terdapat permohonan (untuk menyertai kami), kami akan membincangkan dan memutuskannya. Kami adalah parti demokratik.

“Biarkan mereka meninggalkan Umno terlebih dahulu. Kami akan membincangkan perkara itu dari semasa ke semasa,”katanya.