Malaysia Dateline

Bicara kes rogol Exco Perak ditangguh, tunggu keputusan Mahkamah Rayuan

Perbicaraan kes rogol melibatkan Exco Perak Paul Yong Choo Kiong ditangguhkan sekali lagi, sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini berhubung permohonan pihak pembelaan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

Hakim Mahkamah Sesyen Norashima Khalid membenarkan penangguhan itu hari ini, namun memerintahkan perbicaraan diteruskan seperti yang ditetapkan sebelum ini sehingga menerima arahan lanjut berhubung keputusan rayuan itu.

“Perbicaraan pada esok dan seterusnya masih dikekalkan mengikut keputusan atau arahan lanjut dari Mahkamah Rayuan,” katanya.

Pada 5 Dis tahun lepas, Norashima menetapkan tarikh perbicaraan membabitkan Yong, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, pada 10 hingga 14 Feb 2020.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Azhar Mokhtar membantah permohonan pihak pembelaan melalui peguam Farhan Sapian untuk menangguh perbicaraan itu kecuali keputusan rayuan Yong diterima.

Azhar ketika ditemui di luar mahkamah berkata pihak pendakwaan telah bersedia dengan 15 saksi pendakwaan selain telah membawa jurubahasa dari Indonesia menghadiri kes perbicaraan yang sepatutnya berlangsung hari ini.

“Jika keputusan rayuan tertuduh ditolak hari ini, maksudnya perbicaraan sewajarnya dijalankan esok sehingga Jumaat. Namun jika keputusan Mahkamah Rayuan memihak kepada mereka, maka perbicaraan sewajarnya dijalankan di Mahkamah Tinggi dan perbicaraan yang sepatutnya diadakan sehingga Jumaat terpaksa dilapangkan,” katanya.

Azhar berkata sekiranya perbicaraan diteruskan esok, saksi utama kes iaitu pembantu rumah yang didakwa dirogol akan dipanggil pada perbicaraan yang diadakan secara tertutup.

Sementara itu, Farhan berkata pihaknya sedang menunggu keputusan atau arahan lanjut daripada panel Mahkamah Rayuan dan perkara ini akan dimaklumkan esok di hadapan hakim Mahkamah Sesyen, di sini.

“Notis rayuan telah difailkan pada Disember lalu dan keputusan akan didengar hari ini. Sekiranya rayuan ditolak perbicaraan ikut tarikh ditetapkan, kalau rayuan diterima, Mahkamah Rayuan akan berikan arahan lanjut bila kes akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi,” katanya.

Pada 23 Ogos tahun lepas, Yong, 50, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dakwaan merogol pembantu rumahnya itu di sebuah rumah di Meru Desa Park, di antara 8.15 malam dengan 9.15 malam, pada 7 Julai.

Pada 24 Sept, Hakim Mahkamah Sesyen Norashima Khalid menetapkan 11 hingga 15 Nov sebagai tarikh perbicaraan kes melibatkan Yong yang juga Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak.

Pada 13 Nov, pasukan pembelaan yang diketuai Rajpal telah memfailkan notis usul untuk memindahkan kes itu dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi, mengikut Seksyen 417 Kanun Tatacara Jenayah.

Pada 26 Nov, Mahkamah Tinggi menolak permohonan pihak pembelaan untuk memindahkan kes itu dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Radzi Harun dalam keputusannya berkata hakim Mahkamah Sesyen kompeten dan berupaya untuk mendengar kes berkenaan.– BERNAMA