Malaysia Dateline

Biden dan Dasar Pivot Asia 2.0?

Selasa lepas, saya terima mesej daripada sebuah stesen televisyen tempatan meminta memberikan komen berhubungan dengan majlis angkat sumpah Presiden Amerika Syarikat (AS) Jo Biden sebagai presiden AS ke-46. Saya membalas mesej mengatakan harus berfikir dahulu. Mungkin editornya telah mencari orang lain.

Apabila saya menerima pesanan tersebut, saya bermonolog dalaman dengan diri saya, perlu kita pedulikah? Itu negara Amerika mengapa kita perlu sibuk untuk memberikan komen dan apa kaitan kita dengan mereka. Sama juga dalam pilihan raya Presiden AS, keprihatinan kita amat besar seperti rakyat kita yang akan mengundi siapa Presiden AS.

Mengapa kita tidak prihatin dengan majlis angkat sumpah Presiden Rusia, Vladimir Putin dan Presiden China Xi Jinping? Mungkin kerana kedua-duanya negara tersebut adalah Sosialis dan Komunis yang merupakan musuh kita suatu ketika dahulu. Tetapi kini mereka adalah negara kuasa besar yang sedang bersaing dengan Amerika pada ketika ini. Banyak juga negara yang bermusuh dengan China satu Ketika dahulu sudah berlembut termakan dengan bujukan dana dan bantuan China dalam projek pembangunan di negara mereka.

Perkara adat istiadat bukannya ada nilai berita kecuali perkara luar biasa seperti berlaku letupan bom dan rusuhan di tengah majlis angkat sumpah sedang berjalan. Namun analisis mengenai Biden ini harus bertumpu kepada suatu yang pernah diperkenalkan oleh bekas Presiden AS, Barrack Obama bernama `Pivot Asia’. Obama merencanakan dasar ini sebagai penerusan hegemoni AS di Asia terutamanya di Laut China Selatan apabila China semakin bermaharajalela di sana.

Pentadbiran Biden sudah menyatakan hasrat mereka untuk menilai semula segala arahan-arahan eksekutif, sesetengah dasar pentadbiran bekas Presiden Donald Trump. Apa yang harus menjadi tumpuan Malaysia ialah dasar AS ke atas Asia atau penerusan daripada Dasar Paksi Asia (Pivot Asia) yang dilancarkan Obama.

Semasa era Trump, pendekatan beliau bersifat konfrantasi, tradisi ramai presiden dari parti Republikan yang bersifat bersemuka sama seperti bekas Presiden Ronald Reagan, George Bush dan anaknya, George W Bush juga. Maka China adalah fokus utama Washington yang terlibat dalam perang dagang.

Oleh itu apabila seorang Presiden dari parti Demokrat mengambil alih dasarnya tidak perlu konfrantasi (bersemuka) dengan China, tradisi presiden-presiden dari Demokrat yang lebih menggunakan kaedah liberalisme daripada realisme. Dalam hubungan ini Biden akan menggunakan strategi berlainan dalam berhadapan dengan China di pentas antarabangsa. Apa yang saya nampak di sini, ia bukanlah strategi yang baharu tetapi mungkin pendekatannya bersifat baharu, kembali kepada dasar Paksi Asia atau Pivot Asia. Mungkin ia adalah dasar paksi Asia 2.0.

Dalam dasar ini AS akan memperkukuhkan kehadiran tentera lautnya kawasan pasifik dan Laut China Selatan untuk menyeimbangi tentera laut China di sana. Paksi Asia bertindak menunjukkan kehadiran tentera AS di kedua-dua kawasan samudera tersebut.

Dasar Paksi Asia 2.0 rasanya tidak lari daripada retorik politik Biden yang ingin mengembalikan maruah AS dalam orde politik dunia. Bahkan dasar Biden dan Hillary semasa di bawah pentadbiran Obama dahulu bersifat keantarabangsaan. Namun tentu Biden akan memperlihatkan perbezaan dalam dasar Paksi Asia 2.0 berbanding Dasar Paksi Asia terdahulu kerana apa yang menonjol ialah strategi pendekatan ekonomi dalam berhadapan dengan China.

Kalau semasa pentadbiran Trumph kita mendengar penasihat kanan ialah menantunya Jared Kushner, David Friedman dan Avi Berkowitz, kini kita akan mendengar nama baharu pula dalam pentabiran Biden seperti Kurt Campbell dan Jake Sullivan, penasihat Indo-Pasifik dan penasihat Keselamatan Nasionalnya.

Ini juga memperlihatkan tumpuan dasar luar yang perlu seimbang antara Timur Tengah dan Asia Timur.
Malah mereka pernah menulis dalam majalah Foreign Affairs (edisi September/Oktober 2019) menyatakan pandangan mengenai dasar luar Trump yang suka bergaduh ini dilihat mereka sebagai membazir tenaga walaupun mereka bersetuju dengan tanggapan Trump terhadap China sebagai pesaing strategik.

Bagi mereka daripada berperang dagang dengan China yang membazir dana itu, lebih baik AS menggunakan pendekatan membantu seperti pelaburan berimpak dan berteknologi tinggi, Pendekatan yang digunakan ini lebih kepada ‘soft power’ daripada hard power yang digunakan Trump.

Pendekatan AS dilihat cenderung kepada jangka panjang seperti pro-pertumbuhan, kemapanan dan kebebasan, jika tidak silap inilah pendekatan yang digunakan AS semasa perang dingin Ketika berhadapan dengan komunis di Asia Tenggara. Tindakan AS dalam hal ini lebih kepada dasar berbilang hala kepada sekutu-sekutunya.

Maka kita akan melihat imperialis AS akan mengembangkan hegemoninya di Asia Tenggara dan ini yang perlu dibimbangi kerana kita tidak ingin melihat AS menggunakan negara anggota Asean sebagai alat untuk berhadapan dengan China.

AS dalam keadaan terdesak tentulah memerlukan lingkaran rakan sekutu dalam membendung kuasa China di Laut China Selatan dan mengharapkan hubungan tersebut dibina semula sebagaimana era perang dingin dahulu. Persaingan AS-China yang tertumpu kepada hubungan dua hala dan tingkah laku Trump tetapi AS tentu tidak mahu lihat lemah dan memerlukan rakan akrab supaya dapat membentengi strategi dan pengaruh yang berkembang di negara-negara sekutu AS dalam Asean.

Washington yang banyak menumpukan kepad isu-isu di Timur Tengah dan Asia Selatan telah mengabaikan keupayaan mengukuhkan rangkaian bermakna dalam kalangan sekutu di Asia Timur. Campbell dan Sullivan tentu menggerakkan usaha ke arah membina semula gabungan anti-China yang berkesan.

Ini terutamannya AS dikatakan akan memainkan peranan aktif di Laut China Selatan, kehadiran tentera lautnya akan memamerkan kekuatan AS di sana.

Dengan ini rantau Asia Tenggara dan Laut China Selatan akan menjadi pentas perebutan kuasa sang imperialism AS dan China.

AS sudah tahu bahawa mengebai hubungan ekonomi China dengan negara anggota Asean, terutamanya apabila terdapat kalangan negara sekutu tradisinya yang menandatagani hubungan dagang dengan Beijing dan meletakkan kedudukan AS di Asia Tenggara di bawah tekanan.

Negara seperti Thailand dan Filipina yang merupakan negara sekutu tradisi AS tetapi telah meningkat dan memperkukuhkan hubungan mereka dengan China.

Ini juga didapat dilihat daripada dasar luar AS semasa Trump yang mengabaikan sekutu mereka di Asia Tenggara. Malah Malaysia, yang dasar luar agak seimbang dalam hubungan dengan AS dan China tidak terlepas daripada terlibat dalam projek East Coast Railway Link atau ECRL dan projek Forest City yang didakwa merupakan salah satu projek di dalam strategi China mengukuhkan gagasan One Belt One Road (OBOR). ECRLpula dilihat sebagai projek yang meletakkan Malaysia dalam ‘orbit pengaruh’ China.

Akibat pengabaian Trump tersebut kesan dapat lihat apabila sejumlah negara sekutu tradisi AS telah beralih menerima China sebagai rakan dagangan atau bersikap berkecuali dalam hubungan dengan Beijing dan Washington. Rumusan dapat dibuat bahawa suatu keyakinan dikongsi dalam kalangan negara-negara anggota Asean bahawa China akan menggantikan AS sebagai negara ekonomi kuasa besar dalam jangka 20 tahun akan datang.

Ini memandangkan pengaruh China dalam Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang bakal muncul perjanjian perdagangan terbesar di dunia dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

RCEP merangkumi 10 ekonomi Asia Tenggara bersama China, Jepun, Korea Selatan, New Zealand dan Australia. Perjanjian RCEP untuk menurunkan tarif dan membuka perdagangan perkhidmatan dalam blok itu, tidak membabitkan Amerika Syarikat (AS) serta dilihat sebagai suatu alternatif diterajui China kepada inisiatif perdagangan oleh Washington.

RCEP akan menyaingi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik CTPP di mana kedudukan semakin tanpa penglibatan AS. Biden harus membuat keputusan untuk menyertai semula CTPP supaya pengaruh AS dalam kalangan negara anggota di perkukuhkan selepas Trump menarik AS keluar.

Negara anggota Asean akan menjadi rebutan kuasa-kuasa besar ini.
Malaysia sendiri belum memutuskan sama ada akan meratifkasi CPTPP ia tertangguh oleh ancaman pandemic Covid-19. Malaysia sendiri tidak akan terlepas daripada usaha AS hendak menyangi China di rantau dan AS tentulah memerlukan sokongan di Malaysia di Asia Tenggara.

Sehingga kin Biden belum membuat ucapan atau kenyataan berhubung dengan dasar AS di Asia Timur dala, berhadapan dengan China. Dalam hal dasar pasak Asia 2.0 diperlukan bagi membendungi pengaruh China yang semakin berkembang.

Agak membimbangkan apabila sang helang berlawan dengan Naga kerana yang terkena palitnya adalah negara-negara kecil. Geografi AS terletak jauh dan rakyat tidak akan terkesan jika sebarang peningkatan ketegangan berlaku.

 

Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Komputeran, Universiti Selangor (Unisel)