Malaysia Dateline

Bijak mendedak dianggap sebagai bijak berpolitik, bidas menantu Presiden Pas

Zaharudin Muhammad yang merupakan menantu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terus tampil pagi ini mengeluarkan kenyataan menjelaskan pendiriannya mendedahkan isu “kartel dedak”.

Pendirian bekas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu berkaitan penularan audio Ahli Parlimen Bachok, Nik Abduh Nik Abdul Aziz menjelang PRU-14 lalu yang mengandungi pengakuan penerimaan dana Umno.

Zaharudin berkata, tindakannya itu bertujuan untuk mengelak kepimpinan tertinggi Pas terpalit dengan pengakuan menerima duit Umno seperti pernah disahkan Nik Abduh sendiri.

“Saya nak distancekan (jauhkan) perbuatan mendedak ini daripada dilibatkan Presiden Pas, Majlis Syura Ulama dan Pas Pusat itu sendiri selepas tulisan pintu-pintu YBNA (Yang Berhormat Nik Abduh),” katanya.

Menurutnya, jika beliau hanya mendiamkan diri, orang ramai akan menganggap Abdul Hadi dan Majlis Syura Ulama (MSU) merestui penerimaan dana Umno itu yang disebutkannya sebagai ‘mendedak’.

“Jadi saya bangkang senyap sahaja dan kesannya ahli Pas, rakyat dan umum melihat bahawa perbuatan mendedak ini adalah perbuatan Presiden Pas, MSU dan pimpinan tertinggi.

“Akhirnya bijak mendedak dianggap sebagai bijak berpolitik,” bidas bekas Ketua Pegawai Agama Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS) itu.

Sehubungan itu, Zaharudin berkata, jika beliau tidak bersuara, Pas dan kepimpinan parti tersebut dibimbangi akan diheret kepada Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFA) 2001.

“Kesan lebih besar boleh berlaku ialah jika Umno dan kes (dana) SRC (International Sdn. Bhd.) dan seumpamanya tersangkut, terutamanya dengan AMLATFA, maka bukan sahaja Umno dan Datuk Seri Najib akan dihukum, bahkan Pas dan kepimpinan Pas boleh tersangkut sekali.

“Jika kerajaan PH tidak mampu sabitkan dengan bukti sekalipun, tetapi cukup mereka gunakan kenyataan YBNA dan sekutu-sekutunya yang bersungguh-sungguh mendakwa keterlibatan kepimpinan tertinggi dengan memdedak sebagai alasan untuk menangkap kepimpinan Pas,” dakwanya.

Untuk rekod, kes dana SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta menyaksikan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berdepan dengan tujuh pertuduhan membabitkan pecah amanah, menyalahgunakan jawatan dan pengubahan wang haram.

Zaharudin turut mengaitkan dengan Tragedi Memali yang berlaku di Kampung Mali, Mukim Siong, Baling, Kedah pada 19 November 1985 yang mengorbankan empat anggota keselamatan dan 14 pengikut Ibrahim Mahmood yang juga dikenali sebagai Ibrahim Libya.

“Lagikan Memali mereka boleh bunuh tanpa alasan yang kuat, apatah lagi dengan isu ini. Pada waktu itu kita nak nafi keterlibatan kepimpinan dan MSU dengan mendedak dan nak kata mereka fitnah pimpinan Pas terlibat dengan AMLATFA (dedak)?

“Sedangkan hari ini, kartel dedak dan cyber trooper kita (yang pro dedak) yang galak dan bersungguh-sungguh pertahankan mendedak itu harus dan dibuat oleh pimpinan tertinggi melalui kenyataan pintu-pintu YBNA dan hentam saya yang berusaha menafikan dakwaan tersebut?” tambahnya lagi.

‘Perang’ terbuka antara Zaharudin dengan kumpulan ‘pro dedak’ ini berlaku menjelang pemilihan parti pada Muktamar Tahunan Pas yang dijadualkan 21 Jun depan di Kuantan.

 

Maha licik

Semalam, Zaharudin menyenaraikan lima ahli ‘kartel dedak’ dengan kod nama masing-masing iaitu ‘Dr Hussam II (kepala no 1)’, ‘Mr NT’, ‘Mr KT’, ‘Mr KH’ dan individu yang kelima sebagai ‘semua dah tahu’.

Yang Dipertua Pas Kawasan Subang tersebut berkata, itulah perosaknya iaitu ‘kartel dedak’ yang hanya satu kepala daripada lima ketua yang juga seorang sahaja daripada sejuta ahli Pas.

“Yang nombor lima, sahabat yang bagus. Cuma terlalu ikut kawan-kawan dan jadi ‘front liner’ (barisan hadapan) bela kawan. Yang dia tahu tak banyak pun.

“Ramai-ramai ini, nombor satu itu saja saya fokus. Sebab yang dia buat ‘Mr2’ (individu nombor 2) sampai ‘Mr5’ (individu nombor 5) tak tahu pun.

“Dia maha licik mengalahkan Hussam (Musa). Sapu kiri kanan. Dengan Azmin (Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) pun rapat. Pernah cuba mendedak dengan Azmin tapi tak tahu dapat ke tidak,” dedahnya.

Bagaimanapun, Zaharudin berkata, kes yang dibangkitkan itu tiada kaitan dengan dakwaan Pas menerima dedak sebanyak RM90 juta daripada Umno.

Sebaliknya, jelas beliau, kes-kes itu dalam skala tidak melanggar undang-undang tetapi menyalahi moral, agama dan integriti parti.

Ekoran ‘teka-teki’ itu, satu poster bartajuk ‘Kartel Dedak PA$’ tular di media sosial di media sosial.

Zaharudin kemudiannya menafikan penglibatan Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ketua Pemuda Pas yang juga adik iparnya, Muhamad Khalil Abdul Hadi dalam ‘kartel dedak’ itu.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan tiga nama lagi yang dijangkakan banyak pihak sebagai yang dimaksudkannya iaitu Ketua Penerangan Pas, Nasarudin Hassan dan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Khairudin Aman Razali selain Nik Abduh sendiri.

Ekoran pendedahan ‘kartel dedak’ itu, Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan memaklumkan Zaharudin akan dipanggil untuk mendapatkan penjelasan berhubung siri tulisan di laman sosial Facebooknya.

Walau bagaimanapun, Takiyuddin ketika ditemui pemberita pada majlis berbuka puasa sempena sambutan ulang tahun Umno ke-73 di ibu negara itu berkata, tindakan tersebut tidak merujuk kepada Abdul Hadi sebaliknya hanya di peringkat pentadbiran parti sahaja.

Rakaman audio selama seminit 18 saat yang didakwa sebagai ‘bukti’ penyaluran wang oleh Umno kepada Pas tular di media sosial pada Februari tahun lalu.

Klip suara yang popular diingati sebagai ‘Ana Tahu’ itu mendedahkan pengakuan Nik Mohamad Abduh bahawa pemimpin Pas menerima wang daripada Umno untuk membiayai program parti.

Antaranya, perbelanjaan Pas berjumlah RM2 juta untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak.

Nik Abduh turut mengakui 10 hingga 11 aktiviti Pas bahkan beliau sendiri serta Abdul Hadi juga menerima wang daripada Umno.

Audio itu turut menggambarkan Nik Abduh mempunyai hubungan dengan pihak Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat.

Anak Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat itu dalam reaksi awal menafikan sekeras-kerasnya dakwaan audio tersebut adalah suara miliknya dan menegaskan itu adalah fitnah.

Bagaimanapun, Takiyuddin pada 12 Februari lalu ketika ditemui pemberita di Kota Bharu mengesahkan rakaman audio itu mengandungi suara Nik Abduh.