Bil elektrik lebih tinggi bebankan pengguna

Oleh MALAYSIADATELINE

“Aduh, inilah berita yang buruk untuk bulan Disember,” kata jiran penulis ini, Pauline Tan, seorang surirumah dalam lingkungan umur 40-an apabila membaca dalam akhbar harian bahawa bil elektrik akan meningkat awal tahun hadapan dengan pengurangan subsidi dari kerajaan.

Sebuah akhbar Bahasa Inggeris tempatan bertarikh 9 Disember 2015 telah melaporkan bahawa untuk bil elektrik dimana penggunaannya melebihi 300kwh atau RM77 sebulan akan menampakkan bayaran bil yang lebih tinggi mulai 1 Januari ini kerana rebat akan dikurangkan dari 2.25 sen kepada 1.52 sen untuk 1kwh.

Kenaikan bil elektrik yang lebih tinggi pasti akan menyusahkan golongan yang berpendapatan rendah apalagi dengan harga barang runcit yang sudah naik sejak Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST) telah dilaksanakan mulai 1 April lalu.

Malah terlalu banyak kenaikan harga telah dilaksanakan untuk tahun ini termasuk kadar tol dan tambang pengangkutan awam.

Rakyat yang diwawancara mengeluh apabila mendengar berita ini kerana pada hujung dan permulaan tahun, perbelanjaan adalah tinggi dengan perbelanjaan persekolahan, bil-bil seperti Cukai Tanah dan Cukai Taksiran (Cukai Pintu), bayaran insuran dan sebagainya.

“Yang penting untuk rakyat biasa seperti kita ialah perbelanjaan kos sara hidup. Sudah terlalu tinggi dan amat menjerut leher. Mengapakah isu bil elektrik tidak mendapat perhatian dari kerajaan pada masa zaman yang susah ini? Kerajaan tidak mempedulikan kita rakyat ke?” tanya seorang jururawat bernama Puan Ramlah yang berusia 45 tahun.

Semua 15 orang yang diwawancara oleh penulis berpendapat bahawa terlalu kurang fokus diberi oleh kerajaan untuk menangani masalah kos sara hidup yang sedang meningkat walhal agenda perkauman telah dititikberatkan setiap kali ada perhimpunan agung parti-parti yang tertentu.

“Sekarang bukannya masa berpolitik. Mengapa mahu cakap pasal DAP? Rakyat sedang bergelut dengan kos sara hidup dan perbelanjaan harian. Saya amat kesal kerajaan mengurangkan subsidi untuk kegunaan elektrik,” ujar seorang pemandu teksi bernama Muthusamy yang berumur 60 tahun.

Semua yang diwawancara menggesa kerajaan supaya mengembalikan subsidi untuk kegunaan elektrik kerana pengurangan subsidi tersebut tidak kena pada masanya.Kerajaan harus bertimbang-rasa dan berprihatin pada zaman yang susah ini.

Orang yang diwawancara juga menyarankan para pemimpin negara supaya mengurangkan retorik politik dan hentikan semua agenda politik kerana rakyat sedang menghadapi zaman yang sukar.

Nampaknya dalam Perhimpunan Agung Umno tahun ini, tiada jalan penyelesaian telah dimuktamadkan untuk menangani masalah kos sara hidup yang melambung naik.

Kemungkinan tahun hadapan akan menyaksikan banyak lagi kenaikan harga apabila bil elektrik naik nanti.

Rakyat kini tidak gembira dengan situasi ekonomi tetapi hanya boleh merungut dan mengeluh setiap hari.Ada juga yang menganggur yang sedang berfikir samada perlu ke negara jiran untuk mencari kerja ataupun tidak.