Pelakon, Abby Abadi baru-baru ini meluahkan kekesalan terhadap bekas suaminya yang merupakan seorang aktor iaitu Norman Hakim ekoran culas dengan tanggungjawab sebagai seorang ayah.
Menerusi satu sesi siaran langsung di akaun media sosial miliknya, pemilik nama sebenar Arbaiyah Abdul Manan itu menjelaskan bahawa bekas suaminya tidak menjalankan kewajipannya dalam mendidik anak-anak.
Perkara ini termasuklah tidak memberi sebarang bentuk teguran kepada anak perempuan mereka yang kini masih hangat diperkatakan di media sosial iaitu Marissa Dania Hakim setiap kali melakukan kesalahan.
Malah Norman juga didakwa tidak mengambil inisiatif untuk melawat bagi memeriksa keadaan anak-anaknya selepas mereka memutuskan untuk bercerai pada bulan Disember, tahun 2008 lalu.
“Norman tidak kisah dengan apa (kesalahan) yang Marissa lakukan. Dia tidak pernahlah marah Marissa. Tidak pernah Marissa itu kena tampar ataupun pukul (jika melakukan kesilapan). Benda itu tidak berlaku.
“Selepas bercerai, anak-anak semua duduk dengan saya dan Norman juga tidak pernah ambil untuk jaga. Kalau datang sekali pun, kami berjumpa macam orang luar,” kata Abby dalam perkongsian tersebut.
Perkongsian yang dibuat Abby menerusi satu sesi siaran langsung itu sempat dirakamkan oleh seorang penonton sebelum video berdurasi satu minit 36 saat itu dimuat naik semula di platform TikTok.
Mengulas lanjut, Abby yang juga bergelar penyanyi ketika menganggotai kumpulan Elite turut berkongsikan situasi sewaktu Marissa dimarahinya di mana anaknya itu sering melarikan diri ke rumah Norman.
Wanita berusia 48 tahun itu juga turut merasakan bahawa Norman mungkin menikahinya dahulu bukan atas dasar cinta sebaliknya terpaksa ekoran kecewa dengan seseorang yang tidak didedahkan namanya.
“Norman memang melepaskan dirinya hingga sekarang. Jadi saya rasa tiada sebab untuk kami berbaik. Saya rasa tiada keperluan. Kalau dapatlah putarkan masa, saya nak jaga sendiri anak.
“Tak perlu berikan Marissa pilihan kedua. Dahulu jika saya marah Marissa, dia boleh larikan diri ke keluarga Norman. Rasanya Norman juga bukan nak sangat kahwin dengan saya dahulu, mungkin dia tidak sengaja.
“Ketika itu dia kecewa dengan orang lain. Tetapi tiba-tiba dia kahwin dengan saya. Kami berkahwin selama enam atau tujuh tahun sahaja tetapi memiliki tiga orang anak.” Ujar Abby dalam perkongsian itu.
Baca juga: Datin Shahida dituduh tumpang kekayaan suami, ini respons Aliff Syukri – “Takpelah bini aku!”