Malaysia Dateline

Bila dimarah rakyat, kenapa nak sandarkan kepada raja?

Sebentar tadi saya terbaca laporan media mengenai kenyataan YAB Perdana Menteri berkaitan isu pelantikan YB Umno dari Pasir Salak sebagai bapak duta Malaysia ke Indonesia.

Antara lain, dilaporkan bahawa YAB PM berkata tindakan pihak-pihak yang mendesak agar pelantikan YB Umno itu ditarik balik dikira seolah-olah mempersoalkan kuasa YDPA.

YAB PM juga dilaporkan berkata pelantikan YB Umno itu telah diluluskan oleh kabinet dan juga telah diperkenankan oleh YDPA.

Oleh itu, beliau berlogika dengan logika mudah bahawa sekiranya ada desakan meminta pelantikan itu ditarik balik, ia dikira seolah -olah cuba mendesak YDPA.

Dengan hormat, logika mudah seperti yang dituturkan oleh YAB PM itu agak biasa kita dengar dan ianya bukan sangat logika yang baru. Ia ibarat membaca skrip lama. Skrip tetap sama cuma penuturnya sahaja yang berbeza.

Bila dimarah rakyat, kenapa nak sandarkan kepada raja?
Ismail Sabri Yaakob

Dengan penuh hormat, saya berpendapat alasan atau logika itu bukan sahaja amat lemah tetapi juga sebenarnya tanpa disedari amat tidak sesuai dengan konsep pemerintahan yang baik atau “a good governance” atau reformasi yang kebelakangan ini sering diucapkan oleh pihak pemerintah.

Saya kira sekiranya logika itu dikeluarkan oleh orang kampung mungkin kita masih boleh maafkan . Sebaliknya sekiranya ia datang dari seorang ketua sebuah negara ianya amat malang sekali.

Memandangkan terlalu banyak pelantikan jawatan-jawatan penting dalam perkhidmatan awam yang melibatkan pembiayaan dana awam perlu mendapat perkenan YDPA , adalah tidak wajar untuk mana-mana pihak apalagi seorang PM untuk memusing atau spin sesuatu bantahan apalagi jika ia adalah bantahan bermerit ke atas isu pelantikan yang melibatkan isu perkenan YDPA sebagai tindakan seolah-olah ingin menidakkan kuasa perkenan YDPA. Tidak timbul isu itu sebenarnya.

Bagi saya, jika ada pihak yang membuat spin seperti itu -seperti yang berlaku sekarang ini- ia hanya memburukkan lagi imej negara ini dari imejnya yang telah sedia buruk khususnya dalam isu pelantikan YB Umno ini.

Dengan hormat, dalam isu seperti ini yang melibatkan isu nama baik dan integriti sesebuah Kerajaan,YAB PM sewajarnya perlu berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan bagi menyokong pelantikan yang penuh dengan kontroversi itu.

YAB PM, dengan penuh hormat, tidak sewajarnya dilihat seolah-olah sedang berpolitik dengan standard politik yang dilihat amat murah.

Semua tahu dan sedar bahawa bantahan ke atas pelantikan YB Umno itu amat bermerit dan disuarakan bukan atas dasar emosi semata-mata. Masyarakat madani hatta beberapa orang mantan duta sendiri turut membantah pelantikan itu . Oleh itu bantahan bermerit itu sewajarnya diambil berat oleh pihak Kerajaan.

Malahan, sebelum ini sendiri Kerajaan sendiri merasakan perlu menamatkan jawatan YB Umno yang sama dalam jawatan utama di sebuah GLC yang agak utama dalam negara ini ekoran kemarahan masyarakat terhadap kenyataan YB Umno itu atas sebuah tragedi berdarah di negara ini.

Malahan yang terbaru parti Umno sendiri dilihat tidak selesa untuk memastikan YB itu untuk terus berada dalam kepimpinan tertingi parti Umno.

Berdasarkan semua alasan di atas , saya yakin isunya di sini bukan melibatkan isu mempertikaikan kuasa perkenan YDPA.

Sebaliknya ,isu bagaimanakah YAB PM dan kabinet dia boleh lari dari tindakan yang dilihat tidak begitu peka mengenai betapa perlunya mereka menjaga dan memelihara nama baik dan integriti YDPA.

Mengapa harus mengheret nama baik institusi YDPA akibat kelemahan dan ketidakmampuan anda semua ?

Baca juga: Ini bukan poster ceramah, ini senarai ‘wanted’ gara-gara bantah kenaikan harga barang

Baca juga: Wanita tanggung biawak hidup sepanjang perkahwinan, suami minta RM10,000 tebus talak