Bila Khairy akan tangani kadar kematian Covid-19?

Oleh ARIF ATAN

Malaysia telah mencatatkan 50 kematian akibat Covid-19 dalam tiga hari yang lepas iaitu 11 kematian semalam, 15 kematian pada hari Sabtu dan 24 kematian pada hari Jumaat.

Lima puluh kematian Covid-19 dalam tiga hari adalah sangat tinggi dan tidak boleh diterima. Bilakah Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin akan menangani kadar kematian Covid-19 yang tinggi di Malaysia?

Jumlah kumulatif kematian Covid-19 di Malaysia kini ialah 32,125 kes berbanding Jepun yang mencatatkan 20,202 kematian, Pakistan dengan 29,772 kematian, Bangladesh 28,819 kematian, China 4,638 kematian, Korea Selatan 7,081 kematian, Singapura 897 kematian, dan Taiwan dengan 851 kematian.

Malaysia mempunyai jumlah kematian per kapita tertinggi di rantau Asean dan Asia Timur dengan 972 kematian bagi setiap satu juta penduduk, dan keempat terburuk di Asia selepas Iran, Lubnan dan Jordan – semuanya di Timur Tengah.

Johor telah menjadi negeri teratas di Malaysia dalam dua minggu terakhir dengan jumlah tertinggi kematian akibat Covid-19 – mencatatkan 27 kematian berbanding Perak 25 dengan kematian dan Sabah 24 dengan kematian, negeri kedua dan ketiga dengan jumlah kematian terbanyak dalam dua minggu lalu.

Malaysia sedang menghadapi gelombang Omicron, dengan 22,802 kes pada hari Sabtu lepas – yang membawa jumlah kes jangkitan terkumpul dalam negara melepasi paras tiga juta kes – merupakan angka keempat tertinggi dalam dua tahun negara kita berhadapan dengan pandemik ini. Semalam, kita masih berada dalam julat lima angka dengan 21,072 kes.

Kita kini dijangkakan akan mencatatkan kemuncak baharu kes harian, mengatasi kemuncak 24,599 kes yang dicatatkan pada 26 Ogos 2021 sebelum ini.

Tahun lepas, pakar kardiologi yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Afshine Emrani dalam Twitter mendakwa bahawa Omicron ini tidak lebih daripada virus selsema bermusim.

Beliau menulis: “Ia dilemahkan. Hampir tiada kemasukan ke hospital. Tiada pesakit kritikal. Tiada pengoksigenan. Tiada intubasi. Semua orang akan terdedah dan akan mendapatnya. Imuniti kumpulan besar-besaran. Menggantikan Delta sepenuhnya. Dalam masa 8-12 minggu, dunia akan ‘divaksin’.

Katanya lagi, “Kenapa panik? Ia boleh menjadi lebih teruk. Tunjukkan rasa terima kasih kepada alam semula jadi kerana akhirnya menghapuskan virus jahat buatan manusia yang dibocorkan dari makmal! Kita diberkati.”

Afshine terus mendakwa bahawa AS akan melaporkan dua juta kes positif sehari selama beberapa minggu, selepas itu “angka akan menurun secara mendadak”.

Tetapi Afshine telah terbukti salah dan tidak ada negara yang melaporkan dua juta kes Omicron. AS mencatatkan paling banyak kes setakat 903,620 kes pada 13 Januari 2022, yang telah turun kepada 31,652 kes semalam.

AS mencapai kemuncak penularan Delta dengan 308,320 kes pada 8 Januari 2021 – dengan kemuncak penularan Omicron hampir tiga kali ganda kemuncak kes harian Delta.

Kemuncak penularan Delta di United Kingdom ialah 71,285 kes harian baharu pada 8 Januari lalu manakala puncak Omicron ialah 229,622 kes baharu harian pada 4 Januari – peningkatan puncak harian Omicron sebanyak 3.2 kali ganda. Semalam, United Kingdom merekodkan 41,270 kes baharu Covid-19 setiap hari.

Memandangkan Jerman nampaknya mengesahkan bahawa kemuncak kes harian Omicron adalah kira-kira tiga kali ganda daripada puncak harian Delta, adakah kita melihat kemuncak harian dengan 75,000 kes untuk Malaysia?