Malaysia Dateline

‘Bila KSN, KP Kesihatan akan beri penerangan kepada pemimpin pembangkang?’

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang hari ini mempersoalkan bilakah Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Kesihatan atau timbalannya akan memberikan penerangan kepada para pemimpin pembangkang mengenai situasi semasa wabak Covid-19 di negara ini dan Proklamasi Darurat?

Persoalan itu susulan isu kehadiran pegawai kanan kerajaan dalam mesyuarat pemimpin parti kerajaan Nasional Perikatan (PN) sebelum ini.

Kit Siang menambah, isu tersebut menunjukkan bahawa kita masih jauh daripada mempunyai strategi dan pendekatan melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam perang melawan pandemik Covid-19.

“Bilakah KSN, Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Kesihatan atau timbalannya akan memberikan penerangan kepada para pemimpin pembangkang, Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng, Mohamad Sabu, Shafie Apdal dan Mahathir Mohamad mengenai situasi semasa wabak Covid-19 di negara ini dan proklamasi darurat…

“…atau adakah wabak Covid-19 ini hanya masalah yang perlu ditangani oleh kerajaan PN sahaja dan tidak memerlukan usaha bersama daripada pihak pembangkang dan rakyat?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Lim Kit Siang

Media hari ini melaporkan, ahli politik pembangkang mempersoalkan mengapa KSN dan penjawat awam lain terlibat dalam mesyuarat Majlis Presiden PN yang berlangsung secara atas talian petang semalam.

“Mesyuarat politik oleh PN melibatkan ketua setiausaha kerajaan,” kata Ahli Parlimen Tanjong Malim, Chang Lih Kang di Twitternya semalam.

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dalam akaun Twitternya, pula menyifatkan tindakan melibatkan penjawat awam dalam mesyuarat politik sebagai tidak profesional.

Mengulas lanjut, Kit Siang yang juga veteran DAP berkata, gelombang ketiga pandemik Covid-19 terus membadai negara ini sejak empat bulan lalu.

Tegasnya, gelombang tersebut seharusnya ditangani lebih awal melalui strategi dan pendekatan yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat”.

“Bilakah kerajaan (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) akan mengguna pakai strategi dan pendekatan yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam usaha menangani gelombang ketiga pandemik Covid-19 ini?

“Bilakah Parlimen akan dipanggil semula untuk menjadi pusat dan platform bagi strategi dan pendekatan seumpama itu?” soalnya lagi.

Untuk rekod, jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Malaysia hari ini mencecah 186,849 kes dengan pertambahan lagi 3,048 kes baharu.

Terdapat 3,638 kes sembuh dilaporkan Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini menjadikan jumlah pulih daripada pandemik itu sebanyak 145,084 kes.