Malaysia Dateline

Bila masa pula pembangkang setuju dengan pindaan Akta 342? soal Hanipa

Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin bertanya, sejak bila pihak pembangkang menyatakan persetujuan mereka terhadap pindaan Akta 342 seperti yang didakwa Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, Khairy sepatutnya sedar bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang dibentangkannya itu sukar dipersetujui oleh mereka dan juga rakyat.

“Bila masa pula kita dah bersetuju seperti yang YB Menteri (Khairy) ini dakwa. Come on YB. Be gentleman. YB patut sedar banyak dalam RUU yang YB nak bentang itu yang rakyat dan kami susah nak setuju.

“Bahkan, dah ada yang bagitahu ada kemungkinan ianya mungkin unconstitutional atau langgar perlembagaan,” ulasnya ringkas.

Beliau menambah, tidak mungkin untuk blok pembangkang dengan mudah bersetuju denganpindaan tersebut.

Justeru katanya, amat tidak profesional apabila Khairy membuat kesimpulan bahawa mereka sudah menyatakan persetujuan.

Terdahulu, Khairy menerusi ciapan Twitter berkata, setelah berbincang dengan whip kerajaan dan pihak pembangkang tentang pindaan Akta 342, kedua-dua pihak bersetuju pindaan tersebut amat penting untuk memberi kerajaan ruang bagi menangani pandemik.

Bagaimanapun kata Khairy, pindaan itu akan dimurnikan terlebih dahulu sebelum bacaan kali ke-2 dan kali ke-3.

“Pemurnian ini adalah untuk melindungi kepentingan rakyat agar tidak terbeban dengan nilai kompaun yang mungkin terlalu tinggi dan menambah baik akta sedia ada.

“Pindaan Akta 342 akan diteliti dan disemak semula. Bacaan kedua dan ketiga akan dibentangkan pada Isnin, 20 Dis 2021,” ciapnya.