“Bila masa pula saya keluarkan kenyataan ini?”, Abby Abadi terkejut netizen kata Marissa terkena buatan orang 

Oleh KIM SYAZIE

Selepas kecoh dengan pendedahan dibuat Abby Abadi yang mendakwa anak daranya seolah berubah 360 darjah, pelakon itu menafikan perubahan Marissa Dania Hakim adalah akibat buatan orang.

Abby atau nama penuhnya Arbaiyah Abdul Mana, 57, berkata, dakwaan tersebut tidak benar dan dianggap sebagai satu fitnah daripada pihak tidak bertanggungjawab.

“Bila masa pula saya keluarkan kenyataan ini, baca di mana?

“Banyak sangat ke pahala mereka asyik keluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan fitnah kepada saya? Ish ish ish,” katanya dalam Instagram semalam memetik Kosmo!.

Dia yang pernah popular menerusi drama Gerak Khas berkata demikian bagi menjawab pertanyaan netizen sama ada perubahan hidup Marissa disebabkan terkena buatan orang.

Lapor portal itu lagi, Abbu sempat dipuji netizen apabila dilihat tenang tatkala dilanda ujian dan kecaman netizen susulan dakwaan Marissa dikatakan bernikah dengan Ahmad Aslam di Thailand pada Disember tahun lalu.

Katanya, apabila menyerahkan semuanya kepada Allah SWT, ketenangan tersebut pasti akan hadir.

“Apabila kebergantungan hanya pada Allah, insya-Allah segala-galanya akan tenang sahaja. Doakan yang baik-baik ya,” katanya lagi.

Semalam, Abby mengejutkan ramai apabila muncul dalam sebuah video milik usahawan, Datuk Aliff Syukri dan meluahkan bahawa Aslam tidak berkemampuan untuk berpoligami.

Terdahulu, nama Marissa yang juga merupakan seorang model dan pempengaruh kembali hangat diperkatakan selepas didakwa telah berkahwin secara senyap di Thailand dengan Aslam yang berstatus suami orang.

Perkara itu seterusnya disahkan kakak ipar kepada Aslam dikenali sebagai Nadiah yang mengatakan Aslam sudah berkahwin dengan Marissa pada 27 Disember lalu di Songkhla, Thailand.

Pasangan berkenaan dikatakan mendirikan rumah tangga tanpa pengetahuan isteri pertama Aslam, Misya Mazlan yang ketika itu menunaikan umrah.

Lebih dramatik, pernikahan tersebut juga berlangsung tanpa pengetahuan keluarga Marissa. 

Baca juga: Patutlah tak menjadi, kena rendam air garam rupanya! Ini resepi Pisang Goreng Salut Gula