Bila menghadap Menteri, mahasiswa dikatakan kurang ajar

Bila menghadap Menteri, mahasiswa dikatakan kurang ajar

ULASAN : Betapa hebatnya isu mahasiswa menghadap Menteri Pendidikan sehingga berita Anwar akan bertanding di Port Dickson kelihatan suram.

Pada Rabu, Dr Maszlee Malik mengadakan pertemuan dengan wakil mahasiswa berhubung isu pelantikan dirinya sebagai Pengerusi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Saya berhajat untuk melihat perkembangan “7 hari” yang diberikan kepada Dr Maszlee untuk meletakkan jawatan, namun yang saya temui adalah pendekar-pendekar yang mahu berperang dengan mahasiswa kerana secubit video jeritan mahasiswa usai mesyuarat bersama Dr Maszlee.

Pada pemerhatian saya, pendekar-pendekar ini tidak mengetahui sebelum aksi jeritan “undur Maszlee” diazankan – mahasiswa ini telah bermsyuarat panjang dengan Menteri, bahkan hujah-hujah mereka cukup rasional. Saya sarankan para pendekar ini mengunjungi Facebook peribadi Asheeq Ali untuk mendengar sendiri perbincangan tersebut.

Mahasiswa terlalu kurang ajar dengan Menteri

Jika kita menjenguk rangkap puisi Usman Awang yang popular – “sekarang kata ini kuajarkan pada anakku; Kau harus menjadi manusia kurng ajar untuk tidak mewarisi malu ayahmu.” Barangkali jika para pendekar menemui puisi ini, mereka akan memberontak lantaran mengambil perkataan “kurang ajar” secara harfiah.

Kurang ajar bukanlah bermaksud kurang sopan, tapi bangkit menuntut apa yang dirasakan hak-hak yang perlu diperjuangkan. Dalam konteks pertemuan semalam, ia adalah hak autonomi universiti yang sering dizikirkan Dr Maszlee sebelum menjadi Menteri.

Sebuah universiti yang tidak dicampuri politikus dan memberikan kebebasan universiti untuk melakukan keputusan. Isu ini tidak terlalu sukar untuk difahami – Dr Maszlee merupakan seorang Menteri, bukankah pelantikan dia sebagai Presiden akan menimbulkan banyak isu dan “conflict of interest”?

Perkataan “mahasiswa kurang ajar” sebenar ditanam oleh rejim sebelum ini, atas sebab itulah mahaiswa yang “tidak kurang ajar” sering diangkat sebagai ikon-ikon mahasiswa.

Bagi pemerintah sebelum ini, mahasiswa yang ideal adalah mahasiswa yang hanya tahu belajar tanpa mencabar, mencium tangan orang-orang kenamaan dan sanggup membelakangkan keperluan mahasiswa demi memberi kesenangan hati pemerintah atau pentadbiran.

Mahasiswa yang kurang ajar semalam telah berjaya mengalahkan Dr Maszlee dan pasukannya di gelanggang perdebatan. Bagi mereka yang menyaksikan mesyuarat tersebut – jelas Dr Maszlee yang tidak pernah habis kosa katanya di ucapan-ucapan kebebasan akademik, kehabisan perkataan untuk dimuntahkan semalam.

Hujah Dr Maszlee juga terlalu rapuh – umpama seorang pelajar yang sedang melakukan viva tapi belum bersedia atau mengulangkaji. Bukankah mahasiswa memang sepatutnya seperti itu?

Datang dengan hujah-hujah yang konkrit untuk menegur pemerintah yang terlalu enak dengan kuasa. Sepatutnya Dr Maszlee berterima kasih kepada kumpulan mahasiswa ini kerana menegur dirinya – saat dia sedang dikelilingi oleh orang yang hanya mahu angguk demi kocek.

Mahasiswa memang perlu kurang ajar

Satu hal asas yang barangkali tidak diketahui oleh para pendekar – sebelum mahasiwa kurang ajar ini datang ke gelanggang perdebatan semalam, mereka telah berkali-kali menghantar surat secara “sopan” kepada pihak Kementerian Pendidikan.
Malangnya, seperti kerajaan sebelum ini – mahasiswa dilihat tidak mempunyai kepentingan untuk ditemui atau diajak berbincang. Semasa mesyuarat semalam Dr Maszlee meminta maaf kepada wakil mahasiswa akibat mempunyai pasukan yang tidak cekap. Pasukan yang tidak mampu untuk membalas surat, hal asas dalam sesebuah organisasi.

Hal ini bukan kali pertama berlaku, autoriti (kementerian atau pentadbiran) selalunya enggan untuk berbincang hal-hal serius yang melibatkan perubahan dasar atau kritikan keras terhadap mereka. Mereka lebih gemar untuk berbincang soal-soal kurang penting seperti isu-isu dalaman kampus, wifi, atau tandas fakulti yang tersumbat.

Jika ada orang-orang tua yang kehabisan hujah melabelkan mahasiswa sebagai kurang ajar – maka jawablah kepada mereka, anda-andalah yang menyebabkan mahasiswa menjadi kurang ajar! Apabila mahasiswa beradab dan sopan, tiadalah mereka dipandang. Sesudah aksi mahasiswa menjadi tular, barulah mereka akan dipanggil untuk menjaga imej autoriti. Apa yang saya sebutkan ini merupakan modus operandi autoriti sejak dahulu lagi.

Halal untuk pendekar, haram untuk aktivis

Jika kebanyakan mahasiswa ini berdemonstrasi di hadapan Menteri Barisan Nasional, sudah tentu mereka akan dilabel sebagai mahasiswa agen perubahan. Oleh kerana kerajaan telah berubah, maka mahasiswa ini adalah kurang ajar! Begitulah lemahnya pemikiran kebanyakan kita – apabila kritikan berlaku pada pasukan yang kita musuhi, halal! Apabila pasukan kita menerima kritikan, ia haram!

*Penulis merupakan aktivis mahasiswa dan penulis buku.

 

3.0
OVERALL SCORE
: 9.0
3 user votes x 1.0