Malaysia Dateline

Bila parti politik mahu berjumpa laksana konsensus nasional, tanya DAP

Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang, mengkritik tindakan ahli politik kerajaan yang dianggap begitu taksub mahu mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) hanya kerana mahu merebut kembali kuasa demi membolehkan pemimpin mereka dilepaskan dari hukuman penjara.

Sedangkan katanya, ketika ini segala usaha perlu ditumpukan kepada gerakan mengatasi penularan pandemik Covid-19 yang semakin tidak terkawal dan mencari jalan meminimumkan kes kematian akibat wabak berkenaan.

“Kita telah menyaksikan kegagalan kerajaan selama 10 bulan terakhir untuk melancarkan pendekatan ‘semua-pemerintah’ dan ‘semua masyarakat’ untuk menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia dan merencanakan dengan cepat pemulihan ekonomi negara.

“Banyak silap lain yang dilakukan Kabinet Muhyiddin sepanjang pandemik Covid-19 ini seperti kegagalannya menampilkan Menteri Kesihatan yang efektif, selain salah laku Menteri Perikatan Nasional (PN) yang mengamalkan dua darjat dalam mematuhi SOP Covid-19.

“Sikap ini telah memburukkan lagi kepercayaan rakyat terhadap kerajaan Muhyiddin walaupun prestasi yang cukup baik ditunjukkan semasa gelombang kedua wabak ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama katanya, Kabinet Muhyiddin juga seolah-olah lepas tangan apabila enggan mengadakan sidang khas Parlimen untuk mengatasi gelombang ketiga Covid-19 yang mungkin akan mengatasi negara Myanmar minggu ini.

Menerusi catatan di laman blognya juga, Kit Siang mengulangi pendirian agar kesemua parti politik negara segera mencapai satu konsensus nasional demi mengembalikan semula Malaysia sebagai sebuah negara besar bertaraf dunia.

Beliau juga bertanya, adakah kesemua parti politik sudah bersedia untuk bertemu dan segera menyelamatkan Malaysia.

“Adakah semua parti politik di negara ini bersedia bertemu untuk menyelamatkan Malaysia dari dua masalah besar pada tahun ini iaitu wabak Covid-19 dan rasuah?

“Ada yang berani mengambil seruan ini?,” soalnya.