Malaysia Dateline

“Bila Pas tadbir ingatkan dapat RUU355, tapi dapat GDBET 333”

Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Mahfuz Omar menyindir Pas yang berada di dalam kerajaan hari ini kerana gagal mengekang aktiviti judi yang semakin rancak dipromosikan kepada orang Islam.

Beliau berkata, apa yang diharapkan orang ramai adalah pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) 355 yang pernah diperjuangkan Pas dahulu, namun lain pula yang rakyat dapat.

“Yang orang duk tunggu RUU355, tapi depa hantar GDBET333. Campur 22 cabutan khas, jadi lah 355.

“Rupanya ini yang kerajaan Melayu Islam nak bagitahu kepada masyarakat dan rakyat. Tanpa duit, boleh judi dengan GDBET dan balik hari raya

“Hari ini dengan suasana kerajaan Melayu Islam memerintah dengan ulama, tiba-tiba mereka berjaya melahirkan insan di Malaysia yang boleh promosikan judi online GDBET,” katanya dalam satu klip video yang disiarkan di Facebooknya.

Pada masa sama, beliau juga menuntut kerajaan untuk menjelaskan berapa banyak judi atas talian dalam negara yang telah dilesenkan oleh Perikatan Nasional (PN).

Beliau juga menganggap kerajaan gagal mementingkan kehidupan dan kos sara hidup rakyat sehingga adanya pihak lain yang berfikir untuk memberikan kemudahan melalui perjudian.

Minggu lalu, tular sebuah iklan bertemakan sambutan Hari Raya Aidilfitri oleh sebuah syarikat perjudian yang mengajak orang ramai menggunakan perkhidmatan syarikat itu bagi meraih wang berganda.

Malah iklan perjudian berkenaan turut menggunakan khidmat beberapa pelakon Melayu yang tampil dengan imej bertudung, lengkap berbaju kurung dan berbaju Melayu menerusi iklan mereka.

Iklan itu mengejutkan banyak pihak sehingga mengundang kecaman netizen serta menarik perhatian ahli politik apabila hari istimewa umat Islam itu dijadikan sebagai modal iklan syarikat perjudian.