Bila perang bermula, rezeki bertambah

Bila perang bermula, rezeki bertambah

Selepas 2 November lalu, pastinya suasana Parlimen Tanjung Piai tidak sesunyi seperti sedia kala. Pertembungan pemain politik mulai menarik dan paling mewarnai keadaan. Rezeki peniaga di kawasan ini juga kian bertambah hasil daripada kunjungan pelawat serta pelancong politik.

Dari Kampung Maju Jaya hingga ke Tanjung Piai, hiasan bendera melangsiri pandangan mata dan yang paling kuat menonjol adalah warna biru tua dan merah putih. Sememangnya perkara seperti ini sudah menjadi budaya untuk rakyat di negara ini raikan.

Bagi seorang pemikir pula, hal seperti ini adalah suatu perang idea yang memuncak kerana keadaan seperti inilah segala teori dan idealisme akan dikeluarkan bagi menduga-duga akan kesahihan kajian serta dapatan mereka.

Untuk pemain politik, ini adalah perang, bagi orang tempatan, ini adalah rezeki. Pastinya harga sewaan melambung berpuluh kali ganda dan bagi peniaga kedai PRK umpama rahmat apabila kedai mereka yang selama ini berhabuk lapuk mulai dikunjungi dengan orang rantau yang menginap sementara di sini.

Namun apa yang pasti rumusan dari semua faktor ini adalah tumpuan dari pelbagai terhadap nasib di Tanjung Piai. Boleh dilihat jika berlaku PRK di kawasan-kawasan tertentu pastinya janji dan segala langkah segera akan dilakukan.

Hal ini jelas bagi menawan hati pihak-pihak yang akan membuang undi maka beruntunglah mereka di kawasannya terdapat PRK seperti kata orang ramai. Terkadang ada yang mula tidak menghiraukan akan umur Ahli Parlimen mereka atas dasar mengharapkan PRK berlaku di tempat mereka.

Hal ini adalah sesuatu yang kurang baik untuk dibudayakan. Tetapi apa yang dianggapi oleh orang ramai adalah soal perhatian ke atas nasib mereka dan dalam situasi tertentu undian itu sudah menjadi tidak penting bagi mereka. Malah, rakyat mengharapkan berlakunya PRK di tempat mereka pula.

Sebagai sebuah kerajaan, perkara ini perlu diambil kira kerana mereka ibarat seorang bapa yang akan menyuapkan anak kelaparan. Kerajaan perlu belajar untuk memberikan perhatian kepada semua faktor dan membantu sejauh mungkin akan nasib masyarakat yang memberi kepercayaan kepada mereka.

Di sudut yang lain, penguasaan terhadap penyampaian maklumat kepada masyarakat perlu lagi diperkukuh agar segala tawaran, panduan dan juga peluang yang diberi kepada masyarakat dapat diterima golongan sasaran.

Tinjauan mendapati dasar peduli kerajaan tidak dapat dicapai kepada penduduk kampung dan yang paling malang apabila golongan yang berharap akan polisi itu gagal untuk dinikmati.

Di sisi pembangkang pula, berjanji dan menyalahkan kerajaan adalah lumrah biasa dalam perang maklumat untuk menonjolkan diri mereka adalah wira sejati di kalangan masyarakat. Hakikatnya janji-janji langit mereka kepada pengundi adalah sesuatu yang mustahil untuk diperolehi secara dasarnya.

Dalam pengalaman dahulu, sewaktu di blok pembangkang sememangnya kita akan memainkan sentimen serta hujah yang dilihat konkrit untuk memenangi hati pengundi sehinggakan masyarakat terpesona akan janji-janji serta hujah-hujah dari mereka.

Bercakap itu memang mudah namun untuk melakukannya adalah sebaliknya. Samalah seperti manifesto yang tidak berjaya dilaksanakan oleh mereka selepas bergelar kerajaan.

Jangan ditanya kerajaan mana? Kerana kedua-dua blok ini dilihat sama kerana mereka masing-masing mempunyai salah diri yang tinggi. Usah gelarkan diri terlebih Melayu atau Islam dan sebagainya kerana mereka yang berkata itu sewaktu memerintah tidak juga merealisasikan apa yang diucap.

Itu semua retorik dan perang janji dan hujah ini semakin memuncak apatah lagi tarikh 16 November semakin mendekat. Keputusannya nasib masyarakat sekali lagi dipertaruhkan dengan hebat dan pada waktu inilah segala buruk masyarakat akan dicantikkan dengan hadiah serta janji segera.

Persoalannya, mengapa sebelum PRK perkara ini tidak terlahir? Bukan di zaman PH sahaja tetapi era BN pun sama begitu. Apabila berlaku sahaja PRK, rakyat menjadi semulia-mulia dan sepenting-penting perkara.

Apa yang perlu pada peringkat ini adalah strategi, percaturan dan segala teknikal akan menjadi faktor utama dalam perang yang berlaku. Itu di pihak pemain politik yang mahu menang dalam pertarungan.

Bagi rakyat pula, memperkenalkan, meraikan serta keuntungan adalah sudut utama untuk mereka. Selepas sekian lama dibiarkan, hari ini mereka mula diperhatikan apatah lagi pelbagai jenis dan cap media datang bertandang ke kawasan mereka.

Apa yang masyarakat nantikan adalah persoalan selepas individu yang dipilih itu menang? Adakah mereka akan diberi perhatian lagi atau pun mereka terus ditinggalkan serta hanya menggunakan mereka hanya pada waktu tertentu sahaja.

Pepatah lama turut berbisik, habis madu sepah dibuang. Harapan masyarakat usahlah pepatah itu menjadi asas kepada pembawaan pemain, pakar dan pejuang politik.

*Artikel ini disiar pertama kali di akhbar Mingguan Amanah, Bil 176, 10-16 November 2019.