Bila raya sebenarnya ini, Jumaat atau Sabtu? Ustaz Kazim minta orang ramai bersabar

Oleh KIM SYAZIE

Pendakwah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias meminta orang ramai untuk menyerahkan hal urusan penentuan tarikh Syawal atau Hari Raya Aidilfitri kepada autoriti agama.

Ustaz Kazim berkata, beliau merasa hairan kenapa tahun ini tarikh Syawal menjadi topik paling hangat dibincangkan.

“Kenapa tahun ini orang riuh-rendah sangat berhubung 1 Syawal, beza hanya satu hari saja.

“Kalau kita tak raya Jumaat, kita tetap akan raya Sabtu, konsep hari raya pun kita kena ubah balik,” katanya memetik laporan Harian Metro.

“Serahkan kepada autoriti agama, jangan pula kita marahkan mereka (autoriti agama) kerana kita ada prosedur dan kriteria, malah ini bukan kali pertama kaedah itu digunakan, sebaliknya sudah lama,” tambah Ustaz Kazim lagi berhubung tarikh 1 Syawal yang didakwa jatuh pada Jumaat, 21 April ini.

Mohd Kazim berkata, penggunaan kaedah rukyah yang digunakan untuk penentuan tarikh Syawal atau Ramadan bukan pertama kali digunakan sebaliknya sudah berdekad lama.

Sementara itu, Timbalan Dekan (Jaringan) Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata, penentuan 1 Syawal tidak dibuat sewenang-wenangnya sebaliknya ada prosedur serta kriteria yang perlu diambil kira.

Untuk tujuan ini, beliau berkata, pihak berautoriti agama mempunyai kepakaran untuk perkara ini dan perlu diberikan kepercayaan.

“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hanya membantu menyelaras saja, kita tidak boleh letak tarikh 1 Syawal sesuka hati.

“Tarikh yang diletakkan di dalam kalendar itu hanya tarikh anggaran saja dan keputusan akhir terletak pada Pemegang Mohor Besar Raja-Raja,” katanya.

Proses penentuan Aidilfitri bergantung kepada kenampakan anak bulan pada Maghrib, 29 Ramadan, mengikut kriteria yang sudah ditetapkan menerusi Imkanur-Rukyah.

Untuk rekod, 29 lokasi di seluruh negara akan melaksanakan cerapan anak bulan untuk menentukan tarikh 1 Syawal pada 20 April ini.

Rektor Akademi Falak Malaysia, Persatuan Falak Syar’i Malaysia Shahrin Ahmad berkata, penggunaan kriteria Imkanur-Rukyah ini sudah dipersetujui untuk digunakan oleh Malaysia, Brunei, Indonesia dan Singapura.

“Setiap negara berbeza penentuan serta kriteria kenampakan anak bulan mereka dan kita tidak boleh menyamakan bahawa setiap negara itu mempunyai kaedah yang sama.

“Perkara yang ditularkan itu menyebut berkaitan Pusat Astronomi Antarabangsa, pusat itu bukanlah agensi sedunia sebaliknya ia adalah agensi di bawah Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Setiap penentuan tarikh 1 Syawal itu perlu dibuat di negara berkaitan kerana kedudukan anak bulan sesebuah negara adalah tidak sama,” katanya kepada Metro Ahad.

Baca juga: Satu kampung Pekan Yan kena ganti puasa gara-gara imam laung azan awal 2 minit