Bila Salahuddin mula bertani…

Bila Salahuddin mula bertani…

Tiada yang menyangka termasuk dirinya sendiri tatkala pengumuman beliau menang di Parlimen yang ditandinginya pada PRU 14. Malam itu di hotel Johor Bahru beliau hadir agak lewat akibat dari keputusan tidak terduga itu.

Simpang Jeram Dun yang juga ditandinginya selain Parlimen Pulai turut merasakan gelombang yang membawa beliau kini bergelar menteri di negara ini. Nama Salahuddin Ayub bukan lagi nama yang digelarkan sebagai pembangkang tegar dan kini mula menguntum sebagai pemimpin utama di negara ini.

Sepengalaman berkerja dengan beliau bukan suatu yang mudah untuk dituliskan. Berkerja sebagai wartawan yang sebelum itu banyak menumpukan ketajaman mata pena pada visi beliau untuk negeri Johor ini amatlah sukar apatah lagi ianya terhad kepada kemampuan pergerakan sebagai pembangkang ketika itu.

Segala akses dan kemudahan termasuk dana amatlah memeritkan untuk dikecapi sehinggakan banyak kali beliau terpaksa menggunakan seberapa banyak duit poket yang ada untuk dihabiskan pada pergerakan bagi memudahkan kerja sebagai seorang wartawan.

Mungkin ada yang kurang mengenali beliau sebagai seorang pemimpin kerana cara kemesraan beliau menyantuni orang bawahan tidak diperolehi. Namun, bagi seorang wartawan seperti saya, kekaguman terhadap pergerakan dan ideanya amatlah tinggi dengan buah fikiran serta visi yang akan dibawa beliau.

Itu adalah secebis kenangan sewaktu dalam pergolakan ketika menjadi seorang pembangkang namun kini ianya mulai berbeza sama sekali apabila beliau mulai mengorak langkah menjadi seorang yang berstatus menteri.

Ternyata apa yang diusahakan beliau selama ini mulai membuahkan hasil dan kini beliau dikagumi oleh pelbagai pihak termasuk musuh yang selama ini tidak putus-putus mencari salah. Kesucian keperibadian beliau mulai dicabar kerana kedudukan beliau sebagai seorang menteri sememangnya adalah suatu beban baharu yang perlu dipikul olehnya.

Perbezaan yang dimaksudkan bukanlah ke arah yang terlalu negatif sehinggakan membuatkan dirinya kini jauh tidak dihormati oleh masyarakat. Cuma dalam perjalanan bagi mendidik diri sebagai seorang pemimpin terkadang beliau tidak mampu melahirkan identitinya sebagai seorang yang merendah diri atau seorang yang mesra didekati.

Namun, persahabatan yang terjalin di antara kami tidak pernah pudar kerana selepas beliau dinobatkan menjadi seorang menteri, bahasa tubuh serta perwatakannya masih tidak berubah. Asas serta semangat juga tidak pernah mati malah idea-idea baharu yang dilontarkan cukup memberi kesan untuk dihadam pada pergerakan seterusnya sebagai sebuah kerajaan.

Memeranjatkan

Agak memeranjatkan bila mendengar cerita Salahuddin dilantik sebagai menteri yang menjaga sektor pertanian kerana dari segi pengetahuan beliau selayaknya mampu untuk ke arah menteri pendidikan, ekonomi atau infrastruktur. Namun, itulah takdir terhadap dirinya.

Dalam tinjauan prestasi beliau yang dibuat di sekitar Parlimen Pulai, graf yang diperolehi beliau hanya mencapai kadar 40 peratus sokongan berbeza sebelum PRU yang mana beliau mencapai tahap sokongan sebanyak 75 hingga 85 peratus.

Ini suatu perkara yang pastinya membimbangkan apabila tinjauan yang dibuat khusus di kawasan Parlimen Pulai itu tidak memberi gambaran yang baik terhadap prestasi kerja beliau sebagai seorang menteri.

Malah dalam tinjauan berkenaan terdapat majoriti responden yang mahukan beliau terus mengemudi pembangunan di negeri Johor bukan di peringkat pusat. Ada juga responden yang termakan serta terhidang dengan pelbagai kenyataan yang mengelirukan serta hebahan berkenaan pencapaian beliau tidak diutarakan dengan baik kepada masyarakat.

Banyak perubahan serta pembangunan yang positif telah dilakukan oleh beliau seperti membantu usahawan tani, memasarkan produk Malaysia ke luar negara, pembangunan tanaman kluster, berusaha untuk pengawalan harga barangan mentah serta pelbagai lagi prestasi yang baik tidak dimaklumi oleh masyarakat di kawasan beliau.

Malah lebih memeranjatkan prestasi yang tidak dipesonakan itu membuatkan penduduk di sekeliling kawasan Pulai terutamanya golongan M40 serta anak muda mulai menolak kepimpinan mereka. Walhal sebelum ini beliau telah berusaha untuk menyantuni masyarakat di kawasan beliau dengan pelbagai aktiviti namun tidak berhasil.

Setelah diselidiki terdapat beberapa persepsi yang dijumpai mampu untuk diperbaiki. Sebagai contoh, aktiviti yang dilakukan oleh beliau di Pulai kebanyakannya meraikan warga B40 termasuk golongan asnaf yang mana kalangan tersebut bukanlah majoriti kependudukan di Pulai.

Selain itu, portfolio yang disandang beliau bukanlah sebagai keperluan utama masyarakat di kawasan Pulai kerana kawasan ini merangkumi kepadatan penduduk bandar yang tidak langsung tersentuh dalam soal pertanian. Dalam hal lain aktiviti yang dijalankan oleh beliau di Pulai lebih berbentuk elitis atau tidak merakyat.

Contoh yang dibentangkan oleh responden, aktiviti yang dijalankan beliau sebelum ini di Pulai lebih tertumpu pada satu golongan dan dibuat di kawasan yang bukan menjadi tumpuan masyarakat. Ini perlu difikirkan oleh Salahuddin untuk menarik semula sokongan terhadap prestasi beliau sebagai seorang ahli parlimen.

Namun dalam pertemuan baru-baru ini, dapat dilihat beliau sememangnya mahu melakukan gerak kerja yang menumpukan semula pada pembaikan tersebut. Ia cukup melegakan dan sebagai seorang sahabat perkara yang mahu dilakukan beliau adalah sebagai suatu perubahan kepada kebaikan dan ini seharusnya dimiliki bagi seorang pemimpin.

Soal ‘rimas’ itu adalah suatu persepsi peribadi yang telah ditegur dimaklumi beliau untuk mengurangkan kebimbangan ahli mahu pun sahabat yang lain terhadap dirinya. Secara umumnya kekesalan terlahir seketika saya mengutarakan kenyataan agar beliau berhenti dari mengeluarkan sebarang kenyataan yang menyinggung perasaan sahabat lain.

Secara kolektif Salahuddin Ayub yang dikenali dulu bukanlah seorang yang lain hari ini cuma perbezaannya kemesraan kami kini terbatas oleh kerana kekangan masa dan jadual yang padat.

Falsafah bersahabat seperti kata Ernest Hemingway ‘sahabat umpama mata kail, walau ia tajam kita perlu, walau ia bengkok kita tetap mengharapkan yang terbaik, walau ia tidak berhasil kita tetap simpan, tapi sekiranya ia tidak ada pasti kita akan merasakan kehilangan yang terlalu besar’.