Malaysia Dateline

Bila sebenarnya kapal LCS akan siap? Menteri wajib jawab banyak persoalan

Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh menegaskan Menteri Pertahanan yang turut terpalit dalam skandal kapal tempur pesisir (LCS) perlu disifatkan sebagai yang tidak bertanggungjawab meskipun memegang portfolio yang berkaitan dengan keselamatan dan kedaulatan negara.

Menurutnya, Datuk Seri Hishamuddin Hussein pada sidang Dewan Negara pada 8 Ogos lalu menyatakan bahawa kapal tempur yang dianggap halimunan ekoran dari skandal kelewatan akan siap dalam “setahun dua” lagi.

“Ini bererti bahawa kapal LCS sepatutnya diterima pada 2023 atau 2024,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Walau bagaimanapun, katanya, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang pula telah menyatakan bahawa dua LCS terawal akan diterima pada bulan Januari dan September 2026.

“Kapal seterusnya dijangka diterima pada Mei 2027, kapal keempat pada Januari 2028 dan kapal kelima pada September 2028.

“Mengapakah wujud dua tempoh masa yang bercanggah di antara Hishamuddin dan Jeneral Tan Sri Affendi?

“Persoalan perlu dibangkitkan sekarang, adakah kemungkinan tambahan kos terjadi memandangkan Tentera Laut Diraja Malaysia akan menerima kapal LCS lebih lewat daripada 2024?” ujarnya.

Untuk rekod, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bulan lalu menyatakan kapal LCS hanya 44 peratus siap walaupun Hishamuddin pada 2017 menghantar ciapan “selamat datang” untuk menyambut LCS pertama.

Mengulas lanjut, Syed Ibrahim yang juga Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Keselamatan Malaysia mempersoal kos tambahan yang perlu ditanggung ekoran kelewatan pembinaan kapal LCS.

“Berdasarkan laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang mendedahkan surat syarikat BNS bertarikh 16 Julai 2019, bagi menyiapkan pembinaan keenam-enam kapal LCS yang lewat daripada jadual, memerlukan anggaran tambahan kos sebanyak RM1.416 bilion iaitu terdiri daripada kos langsung berjumlah RM58.41 juta dan juga kos tidak langsung berjumlah RM1.358 bilion

“Justeru, berapakah kos tambahan yang perlu ditanggung kerajaan memandangkan kapal LCS terawal akan diterima pada Januari 2026 dan bukannya tahun hadapan?

“Hishamuddin wajib menjawab persoalan-persoalan di atas dengan jujur meskipun beliau sebelum ini cuba menyalahkan pentadbiran Pakatan Harapan pasca PRU 14 ke atas kelewatan projek LCS,” tambah Syed Ibrahim lagi.

Baca juga Ringkasan eksekutif laporan PAC isu kapal LCS, mudah sampai senang faham – Siri 2 Skandal LCS

Baca juga Lipas hinggap di topeng muka, doktor gigi hampir lari keluar bilik