Malaysia Dateline

‘Bila ubat bius habis, rasalah peritnya ekonomi kita’

Membaca kenyataan Menteri Kayangan Bankers (Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz), Malaysia bersedia mengalami defisit berganda (dua kali ganda) tahun ini.

Maksudnya hutang akan melebar. Mafhum mukhalafahnya kita akan kehilangan hasil negara yang teruk dan terpaksa meminjam bagi perbelanjaan tahun ini.

Di mana mereka akan pinjam? Itu saya tidak tahulah. Namun, kalau kita lihat bagaimana begitu terdesak ghanimah, kedudukan CEO dan Pengerusi GLC diatur secara tergesa-gesa seperti pertukaran peneraju Petronas dan Khazanah.

Kita boleh faham. Malangnya, kedua-dua GLC ini juga dijangka kehilangan hasil yang besar dalam rantaian perniagaan dan pendapatan mereka.

Siapa yang perhatikan laporan pasaran saham, pasti akan membaca minggu lepas hampir RM1 bilion dana asing mengalir keluar biarpun minggu sebelumnya sekitar 500 juta dana asing mengalir keluar, aliran keluar dana asing ini boleh dikataan berlaku setiap minggu sepanjang PKP.

Yang peliknya dalam fenomena keluarnya dana asing, pasaran saham, Bursa Malaysia dalam aliran meningkat? Saham-saham tertentu melonjak naik secara luar biasa.

Jadi, siapa yang faham akan dapat fikir apa yg sedang berlaku kepada institusi kewangan dan pelaburan tempatan terutama Permodalan Nasional Bhd (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).

Jadi, dimana keyakinan Menteri Kayangan Bankers ini apabila sebelum ini dengan yakinnya dia cakap, kewangan dan pendapatan negara kita kukuh?

Apabila ditanya wartawan, dia sebut kita akan susun kembali perbelanjaan dalam unjuran Belanjawan 2020 untuk memenuhi rangsangan fiskal negara dalam pakej rangsangan.

Ada penulis menulis benar atau tidak si Menteri Kayangan ini punya kata-kata, Menteri Kayangan ini kononnya hairan kenapa Lim Guan Eng menerbitkan Bon Samurai sedangkan kewangan negara ini kukuh.

Jadi, dimana kukuhnya jika kita terpaksa meminjam dan berhadapan dengan defisit berganda? Menteri Kayangan sudah bagi hint, mereka akan terpaksa meminjam.

Berbeza dengan Singapura, sebelum dibentangkan pakej rangsangan ekonomi di Parlimen, satu permohonan atau sejumlah peruntukan dari rezab negaranya diperkenankan Presiden Singapura Puan Terutama Dr Halimah Yacob untuk digunakan menyelamatkan ekonomi dan rakyat Singapura. Kedudukan Dr Halimah itu sama dengan kedudukan YDP Agong kita di Malaysia..

Malangnya, pembentangan pakej rangsangan negara kita sampai hari ini tidak boleh dibahas dan dipersoalkan di Parlimen. Malah kita tidak tahu dari mana datang sumbernya. PM tebuk atap cuma melakonkan watak Abah seperti drama bersiri sepertimana drama bersiri Opah di TV dan RTM. Inilah standard kerajaan tebuk atap.

Dari pakej Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin (PRIHATIN), sehinggalan dengan nama Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bagi saya hanyalah sia-sia kerana tidak bersasar, tidak ada kesan kepada daya maju dan merangsang ekonomi.

Bertahanlah sementara tempoh moratarium September ini berakhir dan duit RM 40 bilion dari simpanan sendiri (KWSP) itu habis.

Masa ubat bius itu sudah habis, rasalah bagaimana sakit dan peritnya ekonomi kita.