Malaysia Dateline

Bilangan ahli di Sabah kedua tertinggi, PKR harap dapat tanding lebih banyak kerusi

PKR berharap dapat meningkatkan jumlah kerusi untuk bertanding susulan pertambahan kerusi DUN dari 60 menjadi 73 untuk PRN kali ini.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata, partinya wajar diberi peluang untuk bertanding di lebih banyak kerusi selepas kali terakhir bertanding di lapan kerusi di Sabah.

“Melihat adanya peningkatan kerusi, untuk merealisasikan potensi PKR, kami ingin mengambil kesempatan ini untuk menempatkan calon kami,” katanya kepada wartawan hari ini, di Kota Kinabalu, Sabah.

Terdahulu, beliau antara yang hadir dalam pertemuan Presiden PKR Anwar Ibrahim dengan Presiden Warisan Shafie Apdal pagi ini.

Pertemuan tersebut bagi membincangkan jumlah kerusi yang “munasabah” untuk ditandingi PKR dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah akan datang.

Kata Saifuddin, PKR Sabah mempunyai bilangan ahli kedua tertinggi selepas Selangor sekali gus bermaksud bahawa rakyat Sabah melihat kekuatan parti itu.

“Tentu saja, dengan peningkatan kekuatan parti, diikuti dengan harapan anggota parti … masuk akal untuk PKR diwakili oleh sejumlah kerusi,” ujarnya lagi.