Malaysia Dateline

Bilangan JK Bebas sama banyak antara pembangkang dan kerajaan, dakwa Saifuddin

Bilangan Jawatankuasa Bebas yang akan dibentuk untuk menentukan kedudukan darurat akan mempunyai bilangan ahli Parlimen yang sama banyak antara pembangkang dan kerajaan, kata Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, lapor Malaysiakini.

Beliau yang menerima panggilan dan surat dari Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, beliau telah menerima surat bagi pihak Ketua Pembangkang agar menamakan tiga anggota bebas itu.

“Ya, saya telah menerima panggilan daripada Takiyuddin berhubung perkara tersebut.

“Saya juga menerima surat tersebut bagi pihak ketua pembangkang,” katanya kepada Malaysiakini.

Saifuddin turut memberitahu bahawa telah meminta Takiyuddin berhubung terma dan rujukan jawatankuasa bebas tersebut.

“Saya ada bertanya mengenai terma rujukan dan komposisinya”

“Ini kerana jumlah ahli parlimen kerajaan dan pembangkang sama. Bahkan dengan perkembangan mutakhir ini mungkin pembangkang yang lebih,” katanya.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin sebelum ini memaklumkan Jawatankuasa Bebas akan dibentuk untuk menilai tempoh pelaksanaan perintah darurat ini dan dipersembahkan kepada Yang Dipertuan Agong.

“Seri Paduka Baginda turut memberi perkenan untuk tempoh pelaksanaan darurat ini sehingga 1 Ogos, 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

“Al-Sultan Abdullah turut berkenan terhadap cadangan kerajaan bagi pembentukan satu jawatankuasa bebas yang akan dianggotai oleh ahli-ahli parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkait.

“Jawatankuasa bebas ini akan mengesyorkan kepada Seri Paduka Baginda sekiranya pelaksanaan darurat ini dapat ditamatkan lebih awal,” kata kenyataan itu lagi.