Pelanggan di negeri Fasa Satu dan Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) kini dibenarkan menggunakan bilik acu pakaian di premis menjual pakaian, fesyen dan aksesori termasuk gedung serba-serbi.
Prosedur operasi standard (SOP) untuk menggunakan bilik acu pakaian itu merangkumi penyediaan sarung tangan pakai buang bagi kegunaan pelanggan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Menurutnya, kedai bunga dan nurseri serta kedai aktiviti luar termasuk peralatan perkhemahan dan memancing turut dibenarkan beroperasi di negeri Fasa Satu dengan SOP tempoh masa pelanggan dalam premis dihadkan kepada maksimum dua jam saja.
“Pandu uji kenderaan di pusat pengedaran dan jualan kenderaan dibenarkan di negeri Fasa Dua, manakala bagi kedai kosmetik, penjagaan kulit dan minyak wangi, penggunaan sampel penguji hanya dibenarkan dengan khidmat rundingan oleh pakar runding atau pekerja,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Negeri berada di bawah Fasa Satu PPN adalah Kedah dan Johor; Fasa Dua terdiri daripada Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka, Sabah, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya; manakala Fasa Tiga adalah Perlis, Negeri Sembilan dan Sarawak.
Kedai pakaian, fesyen dan aksesori dibenarkan beroperasi sejak 16 Ogos lalu namun kemudahan acu pakaian tidak dibenarkan pada masa itu.
Dalam masa sama, Nanta memberitahu semua aktiviti perkhidmatan di kedai gunting rambut, penggaya rambut dan salun atau pusat kecantikan juga dibenarkan di negeri Fasa Dua dan Tiga PPN.