Malaysia Dateline

‘Billboard’, khemah beropol sambut lawatan kerja rasmi pertama PM dikecam

Orang ramai dilihat mengecam tindakan pihak yang dianggap mengampu Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob yang meninjau kawasan bencana tragedi kepala air di Gunung Jerai di Tupah, Merbok semalam.

Lawatan kerja rasmi pertama Ismail Sabri selepas dilantik Perdana Menteri mengundang kritikan termasuk di media sosial ekoran terpampang papan iklan (billboard) bersaiz mega yang menyambutnya di lokasi bencana itu.

Paparan video yang dirakam media juga menyaksikan persiapan besar menyambut Ismail Sabri termasuk didirikan kanopi dan khemah beropol.

Difahamkan juga, jalan di kawasan itu juga ditutup bagi meraikan ketibaaan pemimpin Umno itu sekali gus menyukarkan kerja-kerja bantuan terhadap mangsa nahas.

Rata-rata komentar menyifatkan amalan membazir itu perlu dihentikan memandangkan perbelanjaan bagi keraian tersebut lebih wajar diutamakan kepada mangsa tragedi terbabit.

“Perdana Menteri kesembilan silalah keluarkan arahan tidak mahu lagi pembaziran-pembaziran seumpama ini berlalu lagi,” kata seorang pengguna Twitter.

Orang ramai mengkritik perbelanjaan besar menyambut ketibaan PM di lokasi bencana kepala air yang telah meragut enam nyawa di Yan.

Turut mengundang kebimbangan orang ramai apabila rombongan Perdana Menteri yang terlalu ramai dan tanpa menjaga penjarakan fizikal.

Keadaan tersebut sekali gus dilihat melanggar prosedur operasi standard (SOP) mengekang risiko penularan jangkitan Covid-19 yang masih mengganas pada masa ini.

Semakan Malaysia Dateline mendapati papan iklan sebesar alam menyambut Ismail Sabri itu didirikan oleh pihak Pegawai Daerah Kuala Muda.

Billboard ucapan selamat datang itu juga merakamkan kalungan tahniah kepada Ismail Sabri yang dilantik sebagai Perdana Menteri.

Dalam tinjauan Ismail Sabri semalam, beliau diiringi Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor telah diberi taklimat ringkas mengenai kejadian kepala air di kawasan Tupah.

Perdana Menteri selepas itu meluangkan masa kira-kira 20 minit untuk bertemu dan menyampaikan sumbangan kepada penduduk yang rumah mereka ditenggelami lumpur sedalam kira-kira 0.5 meter.

Ahli Parlimen Bera tersebut juga melawat jambatan Tupah yang rosak dan melihat kerja-kerja pembaikan rangkaian kabel serta saluran bekalan air yang rosak akibat nahas.

Ismail Sabri kemudiannya meninjau Loji Air Tupah yang juga terjejas dalam bencana yang mengorbankan enam mangsa itu.

Beliau juga melawat kawasan terjejas di kawasan peranginan air terjun Titi Hayun di kaki Gunung Jerai yang terletak kira-kira empat kilometer dari Yan itu.