BIMB Invest sasar tingkatkan dana ekuiti syariah global kepada RM1 bilion tahun ini

BIMB Invest sasar tingkatkan dana ekuiti syariah global kepada RM1 bilion tahun ini

Anak syarikat Bank Islam Malaysia Bhd, BIMB Investment Management Bhd (BIMB Invest) menyasarkan untuk meningkatkan saiz dana ekuiti syariah global berlandaskan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), BIMB-Arabesque i Global Dividend Fund 1 (BigDF1), kepada RM1 bilion pada tahun ini daripada RM800 juta pada masa ini.

Ketua Pegawai Eksekutif BIMB Invest Najmuddin Mohd Lutfi berkata selepas memasuki Singapura pada awal tahun ini, BigDF1 bersedia bagi pengembangan pasaran di rantau ini.

“Kami melihat pasaran Indonesia dan Brunei menjelang 2020, selain pasaran Islam global yang lain,” katanya kepada pemberita pada pelancaran rasmi ESG & Sustainability Investing with Big Data Technology and Artificial Intelligence dengan CIMB Islamic, di sini hari ini.

Kerjasama dengan CIMB Islamic akan membolehkan rangkaian langganan dana itu terus berkembang melalui cawangan CIMB.

Najmuddin berkata BIMB Invest Shariah-ESG dilancarkan dengan kerjasama Arabesque Asset Management, pakar ESG-Quant pertama di dunia yang terletak di United Kingdom.

“Ini membolehkan BIMB Invest menggunakan Kecerdasan Buatan (AI) dan teknologi data raya, menawarkan pengurusan pelaburan kepada generasi akan datang,” kata Najmuddin.

Dengan kerjasama tersebut, ESG Syariah BIMB merupakan pengurus dana Syariah-ESG terbesar di Malaysia dan ekuiti-Islam keempat terbesar global.

Ia merupakan dana sukuk ESG pertama di dunia, dan dana ekuiti Syariah-ESG yang pertama di Malaysia mempunyai dana AI, dana ESG ekuiti global, dana Syariah-ESG global dan dana Syariah-ESG Asia Pasifik.

ESG Syariah mempunyai tiga asas utama iaitu pengurusan aktif 2.0 — strategi pelaburan yang menggabungkan kemampanan, proses pemilihan saham asas yang terkini dan teknologi pengurusan pelaburan.

Kedua, ia mempunyai prinsip Syariah yang diterima di peringkat global, mengikut standard yang ditetapkan oleh Pertubuhan Perakaunan dan Pengauditan bagi Institusi Kewangan Islam.

Ketiga, integrasi dengan maklumat bukan kewangan mengenai ESG dan hak asasi manusia, selain hak pekerja, perkara-perkara melibatkan alam sekitar dan langkah-langkah pencegahan rasuah.

Data ESG membolehkan BigDF1 menilai prestasi kemampanan syarikat, pandangan mengenai kualiti pengurusan syarikat; yang terdiri daripada keputusan bersifat strategik dan keputusan melibatkan kewangan yang lebih baik.

— BERNAMA