Bimbang lumpuh, industri buku desak Najib campur tangan

Industri buku kecewa kerajaan menggantikan baucar buku kepada Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M).

Industri buku tempatan sangat kecewa dengan keputusan kerajaan menyalurkan bantuan RM250 kepada mahasiswa melalui kad debit bukannya baucar buku seperti diumumkan Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Idris Jusoh baru-baru ini.

Menurut Pengerusi Dewan Industri Buku Malaysia (MBIC), Ishak Hamzah, pemberian melalui kad debit itu yang bercanggah dengan Bajet 2018 bermakna penuntut bebas berbelanja atau melakukan pengeluaran tunai.

Beliau menganggap KPT tidak prihatin terhadap pembangunan modal insan apabila lebih mendorong penuntut berbelanja sesuka hati berbanding membeli bahan bacaan.

Dipetik daripada kenyataannya semalam, langkah tersebut sekali gus membiarkan industri buku lumpuh walaupun kepimpinan industri telah menegaskan perlunya baucar buku sebagai talian hayat industri buku.

Ishak menyifatkan KPT tidak ada rasa simpati terhadap industri buku ekoran pengumuman tersebut memandangkan pihaknya pernah mengadakan pertemuan dengan menteri sebelum ini.

Selain itu, jelasnya, pihak industri buku juga telah menghantar beberapa memorandum sebelum ini bagi menyuarakan perkara sama.

Sehubungan itu, beliau mendesak Perdana Menteri masuk campur bagi mengembalikan semula baucar buku kerana Najib sebelum ini telah menyebut penuntut akan diberikan baucar buku.

“Kami telah rangka satu memorandum terakhir yang akan diserahkan kepada Perdana Menteri. Kalau PM tidak mahu bantu kami, saya khuatir bukan sekadar industri buku semakin lumpuh, saya ingat kegiatan ilmu perbukuan semakin kurang, sokongan warga industri buku, sama ada penerbit, pengedar, pencetak dan penulis buku terhadap permintaan itu saya rasa akan menjadi sangat pudar,” jelasnya.

Untuk rekod, Idris pada 7 Mac lalu mengumumkan kementeriannya akan menyalurkan RM300 juta bantuan Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M).

Menurutnya, pembayaran kepada 1.2 juta penuntut institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta yang layak menerima itu akan disalurkan melalui Bank Rakyat bermula 15 Mac ini.

Mengulas lanjut tentang perkembangan industri buku, Ishak memberitahu, penerbitan judul buku baharu tidak mencapai 15,000 judul tahun lalu berbanding 20,000 judul buku sebelum itu.

Ujarnya, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi industri buku tahun lalu merudum apabila hanya mencapai tidak lebih RM1.2 bilion berbanding RM2 bilion pada tahun sebelumnya selain dipengaruhi kelemahan ekonomi semasa.

“Saya rasa daripada pengamatan kami sejak setahun lepas, agak ramai penerbit yang telah menghentikan perniagaan, kedai-kedai buku yang telah menutup syarikat mereka, penulis yang telah berhenti menulis dan syarikat yang memberhentikan pekerja.

“Paling kurang mungkin 500 orang atau lebih kehilangan pekerjaan,” jelasnya.

Ishak turut berpendapat penghapusan baucar buku  melibatkan rantaian impak negatif yang sangat meluas dan isi rumah yang sangat besar memandangkan ekosistem industri buku sangat luas dan berperingkat.

“Pada waktu hampirnya PRU-14, tindakan melumpuhkan industri buku akan mengendurkan kepercayaan warga industri kepada pemerintah,” katanya.

Rata-rata penerbit tempatan sebelum ini berpendapat penggunaan baucar buku antara penyumbang besar kepada jualan buku seperti yang berlaku pada 2015 dengan ada penerbit mengakui jumlah jualan mencecah 400,000 judul.

Walau bagaimanapun, jualan buku pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra, (PWTC) dilapor merosot hampir 40 peratus ekoran penggantian baucar buku kepada KADS1M.

Ada penerbit tahun lalu mendedahkan mereka kehilangan pelanggan hampir 60 peratus kalangan pelajar yang menggunakan baucar buku sebelum ini.

Majoriti industri buku menganggap selain faktor penuntut belum mendapat baucar buku melalui KADS1M itu, kuasa beli pengguna juga merosot akibat harga barang yang mahal dan kos hidup semakin tinggi.

8.7
OVERALL SCORE
: 7.0
2 user votes x 9.5
CATEGORIES
TAGS