Bimbang masa depan negara, Prof Harlina turun berkempen

Prof Harlina turun berkempen untuk besannya Dr Hafidzah di Tanjong Mas.

Pensyarah terkenal, Profesor Dr Harlina Halijah Siraj antara tokoh yang turun berkempen dalam pilihan raya ini kerana bimbang dengan masa depan negara.

Beliau turun berkempen untuk calon Pakatan Harapan (PH) di Tanjong Mas yang juga besannya, Dr Hafidzah Mustakim.

“Saya sudah 26 tahun mengenalinya. Beliau bukan hanya menunjukkan apa yang dirinya boleh dapat, tetapi beliau juga memastikan lapan anaknya juga berjaya,” kata Harlina ketika merujuk kepada Dr Hafidzah, yang sebelum ini dinobatkan sebagai tokoh wanita Kelantan itu.

Sehubungan itu, Harlina menyeru Pengundi Tanjong Mas agar mengangkat pemimpin seperti Dr Hafidzah ini.

“Saya merasakan pengundi-pengundi di sini amat bertuah dan perlu merasa bangga jika Dr Hafidzah sampai ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan,” ujarnya sambil menambah, bahawa dirinya belum boleh masuk bertanding pilihan raya, tetapi PRU-15 mungkin.

Sebagai seorang ahli akademik, beliau menyatakan banyak melihat serta memikir sesuatu yang fakta.

Katanya, terdapat dua kaji selidik berkaitan rasuah yang dilaporkan pada tahun 2017.

Menurutnya, beliau tidak pasti sama ada rakyat Malaysia ada membacanya atau tidak kerana laporan ini terdapat di akhbar berbahasa Inggeris.

“Ini yang kadang-kadang saya rasa sakit hati. Ada perkara yang mereka tidak mahu Rakyat Malaysia tahu, mereka cerita di tempat yang jarang dibaca (akhbar Bahasa Inggeris),” jelasnya dengan nada geram.

Satu kajian yang dibuat oleh Suruhanjaya Pencegah rasuah Malaysia (SPRM) jelasnya yang dilaporkan pada 6 Mei 2017, mereka mengkaji pelajar-pelajar di universiti.

“Ini adalah pelajar-pelajar yang kita harapkan menjadi profesional dan memimpin negara ini,” katanya.

Laporan itu menyatakan melalui 1000 orang mahasiswa dan mahasiwi yang disoal pada 2015 dan 2016 dilihat ada satu trend yang amat membimbangkan, apabila ditanya soalan,

“Adakah anda sanggup menerima rasuah jika ada peluang atau ada kuasa untuk menerimanya?

“Tahun 2015, 10.7 % pelajar universiti ini mengatakan Ya.
Manakala pada tahun 2016 pula naik sehingga 16%. Ini baru pelajar universiti,” tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan beliau turut berkongsi soalan lain melalui laporan tersebut iaitu “Adakah anda bersedia memberi rasuah jika perlu?”

“Maknanya bukan sahaja terima tetapi ia juga memberi rasuah.
“Jawapan pelajar pada 2015 ialah 17% dan pada tahun 2016 meningkat sehingga 18.5 %. Dan ini menunjukkan pelajar-pelajar ini ramai yang nak.”

Sebagai seorang ahli akademik, Prof Dr Harlina berkata, beliau cukup panik melihat hasil maklum balas kajian ini.

“Maknanya, anak-anak kita belum lagi keluar berkerja, tetapi mereka sudah merasakan rasuah itu sesuatu yang ok. Tak kisah,” katanya.

Beliau turut membawakan satu lagi kajian iaitu daripada Institut Integriti Malaysia pada tahun 2017 iaitu persepsi pelajar terhadap rasuah.

“402 orang pelajar di Universiti seluruh Malaysia ditanya soalan “Jika seseorang itu menerima hadiah, dalam bentuk wang ringgit atau barangan atau perkhidmatan, untuk mendapatkan sesuatu. Adakah itu dianggap rasuah?”

Beliau menyampaikan keputusan itu yang menyatakan bahawa 35.8 % mengatakan bukan rasuah.

“Ini maknanya, difinisi rasuah itu anak-anak kita di universiti daripada 402 orang ini 1/3 kata bukan rasuah. Apa maksudnya ini? Anak-anak kita dengan ini mudah menerima rasuah,”tegasnya.

Justeru, beliau merasa panik kerana mereka bakal memimpin negara ini.

“Siapa yang menjadi role model dan menjadi contoh teladan mereka sehingga merasakan rasuah ini sesuatu yang boleh?” soalnya di hadapan hadirin.

Dalam pada itu, beliau menyatakan itulah sebab dirinya turut turun padang dan pegang juga mikrofon ini.

“Sampai bila saya nak duduk dalam bilik berhawa dingin kerusi yang empuk itu. Sedangkan apa yang berlaku dalam masyarakat ini perlu kepada pembaikan,” tegasnya.