Malaysia Dateline

BIMP-EAGA bincang Pembangunan Bandar Pintar

Mesyuarat Ke-23 Kawasan Pertumbuhan Timur ASEAN Brunei -Indonesia -Malaysia -Filipina (BIMP-EAGA) telah membincangkan berkaitan Pembangunan Bandar Pintar (Smart City).
Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Drive Mohd Radzi Md Jidin memberitahu, BIMP-EAGA telah berjaya menghasilkan pelbagai input bagi dibincang dan dilaksanakan dengan sebaiknya.
Katanya, mesyuarat berkenaan akan diambil kira sekaligus akan dirujuk dalam perbincangan di peringkat seterusnya nanti.
“Antara skop-skop yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut berkaitan mengenai perkara yang telah dilaksanakan dalam BIMP-EAGA.
“Ini termasuk pembangunan infrastruktur dalam BIMP-EAGA, termasuk perbincangan mengenai pembangunan bandar pintar (smart city).
“Oleh demikian  mesyuarat kali ini kami telah berjaya mencari cara untuk mengoptimumkan pasaran BIMP-EAGA khususnya dalam bidang pelancongan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan BIMP-EAGA di sebuah hotel terkemuka di Kuching malam tadi.
Dr Radzi menjelaskan,pasaran  produk BIMP-EAGA yang ada mampu digabungkan sebagai pakej pelancongan bagi menarik pelancong dari dalam luar dan luar pada masa akan datang.
Justeru tambahnya, ia amat relevan khususnya dalam konteks Tahun Melawat Malaysia 2020 pada tahun hadapan.
“Apa yang dibincangkan dalam sesi semalam ialah melihat setakat mana pencapaian dan perkara yang telah dilancarkan sebelum ini serta cara kita dapat memperkasakan lagi usaha-usaha bagi meningkatkan manfaat daripada gabungan BIMP-EAGA itu sendiri,” ujarnya.
Kata beliau lagi, sebagai sebuah organisasi yang menggabungkan negara Malaysia, Brunei, Indonesia dan Filipina, BIMP-EAGA telah bersama membentuk satu sub-wilayah bagi menggemblengkan kekuatan dan kelebihan masing-masing.
Pada masa sama, katanya mesyuarat tersebut turut membincangkan mengenai penyelesaian beberapa isu dan mengambil peluang yang ada untuk mengoptimumkan hasil atau manfaat daripada gabungan ini.
“Antara yang dibincang pada sebelah pagi (semalam) ialah termasuk perkara tentang ‘Healthy Ocean’ iaitu mengenai perairan, laut, isu kebersihan di lautan, isu perikanan dan sebagainya untuk negara-negara dalam BIMP-EAGA.
Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Ekonomi Datuk Saiful Anuar Lebai Hussen,  Penasihat Kanan Pembangunan Serantau Menteri Koordinator Bidang Perekonomian Untuk Hal Ehwal Ekonomi Republik Indonesia Bobby Hamzar Rafinus, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau dan Ketua Pengarah Jabatan Asia Tenggara, Bank Pembangunan Asia Ramesh Subramaniam.