Bina dunia dengan ‘darul Islam’ dan ‘darul dakwah’, kata cendekiawan

Bina dunia dengan ‘darul Islam’ dan ‘darul dakwah’, kata cendekiawan

Pembinaan bangsa Malaysia sukar dibina tanpa merombak gaya hidup dan istilah kepada bukan Islam sebagai zimmi dan harbi, kata pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE) Datuk Dr Siddiq Fadzil.

Beliau berkata, golongan ini adalah warganegara yang merasakan bersama-sama membina negara baharu Malaysia.

Mengulas lanjut, Siddiq berkata ornag bukan Islam bukan perlindungan sebagai zimmi apatah harbi sebaliknya memrlukan perkongsian kuasa.

“Mereka juga adalah warganegara. Konsep ini sudah wujud dalam piagam Madinah, namun tidak berkembang dengan matang kerana berlakunya pengkhianatan Yahudi. Kemudian, empayar Islam terus berkembang selepas itu.

“Prinsip-prinsip untuk membina bangsa Malaysia mengikut acuan pembinaan bangsa atau piagam dan Perlembagaan Madinah dengan menggunakan pemakaian pengertian ummah diniyyah (umat Islam yang esklusif) dan ummah siyasiyyah (ummah politik termasuk Yahudi dan lain-lain),” kata beliau dalam wacana kenegaraan mengupas konflik pembinaan bangsa Malaysia di Shah Alam malam tadi.

Beliau mencadangkan Darul Islam dan Darul Dakwah diperkenalkan di negara ini kerana semangat yang betul-betul tulen dalam al-Quran adalah berdakwah kepada orang bukan Islam, bukan memerangi mereka.

“Peraturan mainnya ialah mendakwahkan mereka dengan bijaksana, nasihat yang baik, dialog dengan mereka, bukan membunuh mereka dan bukan mengharbikan mereka,” tegasnya.

Namun beliau mempersoal sejauh mana keberanian dan kejujuran umat Islam untuk memberikan hak persamaan dan tanggungjawab antara Islam dan bukan Islam dalam pembinaan bangsa Malaysia.

Katanya, demokrasi yang sekular berani memberikan hak persamaan semua bangsa dalam sistemnya.

“Ruang untuk kepelbagaian jatidiri berlainan bangsa di Madinah ketika itu dibolehkan tetapi semuanya berada dalam bingkai kesatuan prinsip hak persamaan dan tanggungjawab – nilai-nilai dan komitmen yang dikongsi bersama.

“Ia mesti dilaksanakan secara jujur dan konsisten. Contohnya Wasasan Nusantara di Indonesia yang menyatukan ribuan pulau dan bangsa dengan kepelbagaian bahasa dan dialek,” ujarnya.

Beliau menambah, bagi menjayakan impian bangsa Malaysia, Islam mampu memberikan sumbangan dengan menggunakan Perlembagaan Madinah sebagai acuan dan meninggalkan unsur-unsur perkauman yang mempertajamkan dan melukai antara sesama bangsa termasuk yang diwarisi sejak zaman nenek moyang kita seperti “kalau jumpa keling dengan ular, maka bunuhlah keling dahulu”.

“Mesti berani buang unsur-unsur rasis dalam fiqh Melayu kita, contohnya istilah “Cina Buta” yang dalam kitab Melayu lama sedangkan istilah yang digunakan dalam Bahasa Arab ialah “muhalil”,” katanya.