Slogan kepada dasar kerajaan umumnya sangat penting kerana ia menunjukkan hala tuju dasar pentadbiran di Putrajaya sekaligus menyatu-padukan rakyat.
Malah, slogan-slogan Islamik dalam dasar kerajaan dilihat tentu sekali menarik minat rakyat khususnya masyarakat Muslim.
Sehubungan itu, Naib Pengerusi AMANAH Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria berpendapat penerapan nilai-nilai Islam sangat penting dalam pentadbiran negara.
“Setiap pemimpin Muslim wajib memimpin berteraskan keimanan seperti adil, amanah, jujur, bijaksana, kompeten dan lain-lain yang sama nilainya dengan nilai murni universal atau umum.
“Dasar Islamik seperti Islam Hadhari telah dilaksanakan semasa pentadbiran Tun Abdullah manakala konsep wasatiyyah semasa erea Datuk Seri Najib Razak.
“Sementara itu, dasar Rahmatan Lil- Alamin pula ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menerajui kepimpinan adalah sangat baik apabila ia mencerminkan kesederhanaan, fleksibel serta pragmatiknya pendekatan Islam dalam pentadbiran negara,” katanya.
Pengarah Penerangan dan Komunikasi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang itu berkata, terbukti dasar Islam Hadhari membimbing pembangunan koridor raya Malaysia, dasar wasatiyyah membawa kepada transformasi negara dan sebelum digubal dan dilaksanakan, sudah pasti ia dikaji secara intensif dan komprehensif.
Namun begitu, tegasnya, dasar-dasar yang hebat dan sangat baik itu hanya tinggal garapan sebagai kertas kerja dan wacana akademik sekiranya tidak dipraktikkan dalam pentadbiran negara.
Dr Zaidi berkata, dasar Islam Hadhari sebelum ini dibelenggu dengan kontroversi ‘budak tingkat 4’ manakala dasar wasatiyyah negara pula terpalit dengan skandal SRC, 1MDB dan FLOM di mana dasar-dasar Islamik ini dilihat sebagai satu hipokrasi yang bermotifkan kepentingan politik.
Yang lebih membimbangkan, ujarnya, jika rakyat berbilang kaum dan agama, khususnya non-muslim melontarkan soalan, apakah ini Islam (Islam Hadhari), Ini kah juga Islam (Islam wasatiyyah) dan benarkah ini Islam (Islam Rahmatan Lil-Alamin).
Sudah pasti, katanya, kebimbangan dasar slogan-slogan yang disandarkan kepada Islamik ini akan menjadi fitnah kepada agama.
Oleh sebab itu, beliau berpendapat nilai-nilai murni universal seperti dasar bersih, cekap dan amanah dan seumpamanya lebih wajar digunakan.
“Sekiranya kita tidak suka orang lain menggunakan nama Islam dan kita pula menuduh mereka menunggang agama, sebaiknya binalah naratif Islamik dengan akhlak perbuatan, bukannya dengan kata-kata,” ujarnya lagi.