Malaysia Dateline

Bina perpustakaan di flat jadikan KL Kota Buku Dunia

Mazlee dan Khalid mengumumkan KL dipilih Kota Buku Dunia 2020.

Inisiatif untuk membuat lebih banyak perpustakaan atau bilik membaca di bawah-bawah flat kos rendah di Kuala Lumpur telah mendapat pengiktirafan dunia apabila Kuala Lumpur telah dipilih sebagai Kota Buku Dunia 2020 oleh Unesco.

Pengumuman mengenainya dibuat bersama oleh Menteri Pendidikan Mazlee Malik dan Menteri Wilayah, Khalid Abd Samad hari ini.

“Antara kandungan utama kertas pembidaan bagi membolehkan Kuala Lumpur dipilih sebagai Ibukota Buku Dunia adalah inisiatif yang telah diambil oleh pelbagai pihak di Kuala Lumpur khususnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dalam membina perpustakaan, pusat bacaan dan juga bilik bacaan di kawasan Perumahan Awam (PA), Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Kos Rendah,” kata Khalid dalam sidang media itu.

Melalui inisiatif ini, katanya, warga kota khususnya kanak-kanak yang tinggal di kawasan perumahan ini mempunyai satu tempat pembelajaran dan pembacaan yang selesa berbanding rumah mereka.

Melalui konsep ‘Rumah Kedua Ku’ pengwujudan perpustakaan dan bilik bacaan adalah sangat releven dalam membantu kerajaan mengurangkan gejala sosial di samping memudahkan kanak-kanak mahupun pelajar meluangkan masa mengulangkaji pelajaran bersama rakan-rakan apabila mempunyai masa lapang.

Dengan kemudahan dan fasiliti yang terkini perpustakaan adalah satu medium bagi mereka untuk mendapatkan ilmu dan maklumat selain di sekolah, kata Khalid.

Pada masa ini Perpustakaan Kuala Lumpur Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah mempunyai 23 buah perpustakaan.

Manakala di bawah Yayasan Wilayah Persekutuan telah mempunyai lapan (8) mini perpustakaan yang dinamakan mini terminal sejahteta yang juga terletak di kawasan Perumahan Awam (PA dan PPR).

“Jumlah ini akan ditambah dan diperluas ke semua kawasan parlimen di sekitar Kuala Lumpur bagi memberi khidmat masyarakat (community service) kepada warga kota.

“Kita bercadang untuk menambah lagi bilangan perpustakaan di kawasan perumahan awam sehingga setiap kawasan perumahan ini mempunyai pusat bacaan mereka sendiri. Ini bertepatan dengan matlamat DBKL sendiri iaitu sebagai Katalis Sosial Kesejahteraan Bandar,” kata Khalid dalam sidang media itu.

Bagi menjayakan penganjuran dan pengiktirafan ini, pelbagai aktiviti dan program telah dirancang oleh Kementerian Wilayah untuk Kuala Lumpur sebagai kota buku dunia.

“Antaranya mewujudkan Lorong Buku dengan membaik pulih dan memberi wajah baru di lorong-lorong di sekitar Kuala Lumpur yang suram dan terbiar.
“Lorong-lorong ini akan dibuat lukisan mural, asbtrak dan dibaik pulih serta dibina kedai-kedai buku yang bersaiz kecil dan bakal menjadi salah satu tempat tarikan pelancong dan menjadi tumpuan peminat buku,” katanya.

Bagi menjayakan cadangan ini, katanya, setiap 19 buah Bandaraya Kota Buku sebelum ini akan menjadi bapa angkat kepada lorong-lorong yang terlibat dan sebahagian dari perbelanjaan pelaksanaannya akan ditanggung oleh bandar-bandar tersebut.

“Perbincangan lanjut tentang formula sesuai dan perincian proses ini akan kita laksanakan sedikit masa nanti,” kata Khalid.

 

KURSUS BAHASA

Dr Hatta, Mazlee, Khalid dan Najib (DBKL) dalam sidang media hari ini.

Dalam pada itu, Mazlee mengumumkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan menganjurkan kursus bahasa Malayu untuk semua ahli parlimen dan ahli Dewan Negara awal tahun depan.

Ia bertujuan untuk meningkatkan lagi kemahiran berbahasa Melayu di kalangan mereka.

“Kita akan mula tahun depan,” tambah Pengerusi DBP, Dr Mohamed Hatta Shaharom dalam sidang media yang sama.