Bina persepsi menjelang PRU amat penting, kata Mat Sabu

Bina persepsi menjelang PRU  amat penting, kata Mat Sabu
Mohamad Sabu (tiga dari kiri) semasa majlis perasmian mesyuarat tahunan AMANAH kawasan Padang Besar, Arau dan Kangar pada Ahad.

Membina persepsi menjelang pilihan raya umum (PRU) amat penting kerana ia mampu mempengaruhi rakyat, kata Presiden AMANAH, Mohamad Sabu.

Beliau berkata, kemenangan yang telah berjaya dicapai adalah kerana perpaduan dan juga persepsi yang berjaya dimainkan.

Malah katanya lagi, antara persepsi yang dibuat oleh pembangkang seperti Pas dan Umno ialah dakwaan bahawa Pakatan Harapan (PH) adalah kuda tunggangan DAP.

“Persepsi yang dibina ini bukan saja melalui laman web dan media sosial, tetapi juga melalui khutbah dan sebagainya.

“Mereka juga membuat persepsi dengan mendakwa bahawa PH tunduk pada DAP.

“Ia dibuat setiap hari dan telah bermula dari sekarang dan harus dipatahkan sebelum menjelangnya PRU yang akan datang, ” ujarnya ketika merasmikan mesyuarat tahunan AMANAH kawasan Padang Besar, Arau dan Kangar pada Ahad.

Ujarnya lagi, persepsi sebegini telah ditanam dan diulang-ulang saban waktu dan hari.

“PH mesti berusaha untuk pecahkan persepsi yang tidak betul sehinggakan rakyat terpedaya dan menganggap ia perkara yang benar.

“Dahului mereka membuat persepsi dengan mendakwa bahawa azan tidak dibenarkan di Pulau Pinang, walaupun ia hanya suatu pembohongan.

“Tetapi apabila ia dibohongi setiap kali, maka rakyat akan berjaya dipengaruhi sehinggakan menganggap ia suatu yang betul, ” katanya lagi.

Tambah beliau lagi, masa ini merupakan waktu yang terbaik bagi menonjolkan Islam itu sebagai ‘Rahmatan Lil Alamin’.

Sehubungan itu katanya, perpecahan dan konflik tidak harus wujud serta mengekalkan keharmonian supaya rakyat dapat hidup dalam harmoni.

“Keempat-empat parti dalam PH mesti bergerak bersama dan pastikan tempoh tiga tahun setengah yang ada dapat digunakan untuk mengubah persepsi rakyat.

“Dalam PRU yang akan datang, ketiga-tiga Parlimen di Perlis mesti dimenangi oleh PH.

“Walaupun PH menang dalam PRU, kerusi Melayu mesti seimbang, ” saran beliau.

Menurutnya lagi, usaha keras perlu dilakukan dari sekarang bagi memastikan kemenangan Parlimen Arau dan Padang Besar menjadi realiti tidak lama lagi.

Kata beliau, keempat-empat parti iaitu AMANAH, PKR, Bersatu dan DAP perlu turun padang dan pastikan penyertaan bersama supaya rakyat dapat melihat adanya perpaduan.

Antara ahli AMANAH di tiga kawasan yang turut hadir.