Bina semula Syria, amankan Yaman, halang agenda Israel

Bina semula Syria, amankan Yaman, halang agenda Israel

Minggu lalu Muzium Damsyek mengeluarkan semula artifak-artifak bersejarah dari tempat persembunyian untuk ditempatkan semula di balai-balai pameran bagi tontonan awam.

Ia menandakan proses pembinaan semula Syria setelah mengalami perang saudara selama tujuh tahun.

Muzium itu dilaporkan dibuka semula pada orang ramai. Ia merupakan antara muzium terhebat di Timur Tengah sebelum Syria terjerumus dalam kancah peperangan yang mengorbankan beribu-ribu orang penduduk negara itu dan menyumbangkan krisis pelarian ke Eropah hingga mebawa reaksi kepada peningkatan pengaruh parti-parti anti-pendatang.

Kepentingan muzium adalah besar bukan saja bagi sesebuah negara bangsa tetapi juga manusia sejagat. Ia menyimpan khazanah bukan saja sejarah tetapi peradaban dan tamadun.

Dengan mepunyai artifak yang tidak ternilai tingginya, beriringan kurator yang bagus, ia merupakan sumber ilmu bagi memahami kemanusiaan dan kewujudan.

Dalam menghadapi peperangan, muzium adalah pusat yang terancam. Bukan saja daripada kejadian curi kerana untuk dijual, tetapi kemusnahan politik untuk melenyapkan kesan sejarah musuh.

Ini berlaku dalam Perang Dunia Kedua apabila tentera Nazi menjarah muzium-muzium Eropah. Ia juga berlaku dalam Perang Teluk apabila tentera Amerika merompak muzium Iraq.

Syria dan Iraq adalah negara yang menyimpan khazanah tamadun purba zaman Sumeria, Mesopotamia dan Babylon.

Tetapi apa yang dihadapi oleh muzium Syria adalah lebih dahsyat daripada apa yang dihadapi oleh pihak Eropah dan Iraq.

Sekurang-kurangnya Nazi dan Amerika menghargai khazanah tamadun walaupun kecenderungannya adalah untuk mengukuhkan hegemoni mereka .

Tetapi tidak bagi musuh utama Syria dalam perang saudara itu. Daesh bukan saja memenggal kepala dan mengerat badan manusia.

Mereka tidak menghormati khazanah sejarah dan peradaban. Jangan harap mereka mempelajari arkeologi.

Malah mereka tidak menghormati ilmu. Mereka meletupkan peninggalan sejarah ribuan tahun di Palmyra. Semuanya dianggap berhala jahiliah.

Bagi mereka tidak ada masalah untuk meletupkan rumah-rumah ibadat lama dan baharu, termasuk masjid.

Bayangkan kalau mereka dapat masuk ke Damsyek, bukan saja Masjid Umayyah yang mereka musnahkan, tetapi juga artifak-artifak itu turut dileburkan.

Tentulah banyak daripada artifak itu terdiri daripada patung-patung lama zaman Rom, Yunani dan sebelumnya.

Kesemuanya menjadi mangsa.

Fahaman anti tamadun dan warisan sejarah ini bukan hanya ada pada Daesh, tetapi ia turut diiliki oleh aliran fahaman agama mereka.

Daesh adalah asalnya sebahagian daripada Al-Qaeda. Kumpulan Al-Qaeda ini juga mempunyai fahaman serupa dengan Taliban.

Ketika Taliban berkuasa di Afghanistan, mereka memusnahkan khazanah warisan silam negara itu tanpa sebarang keberatan.

Sememangnya ia hanya batu-batu. Begitu juga dengan bangunan-bangunan purba seperti masjid-masjid. Ia bukan untuk disembah atau untuk dibuat ibadat.

Tetapi ia perlu disimpan bagi dilakukan untuk ilmu. Negara-negara Islam khususnya di Timur Tengah kaya dengan khazanah warisan ini. Terutamanya di Kaherah, Istanbul, Baghdad, Damsyek dan Yaman.
Di Yaman yang sedang dibom bertubi-tubi, Daesh juga menguasai banyak wilayah. Khazanah warisan di sana juga terancam.

Tetapi khazanah warisan itu hanya memberi erti jika ia dikaji oleh ahli-ahli arkeologi dan dibuka untuk tatapan para pengunjung.

Untuk itu ia memerlukan keamanan dan kemakmuran. Peperangan hanya membawa kepada kemusnahan, kesengsaraan dan penderitaan.

Sedangkan alangkah indah jika umat Islam menjadi makmur dan banyak menjadi pelancong yang menimba ilmu dengan mengunjungi muzium-muzium itu.

Bukannya menjadi pengganas Daesh dan merosakkan kehidupan peradaban manusia.

Dengan keamanan semakin pulih, banyak pelarian yang pulang untuk membina semula Syria. Negara itu belum pulih sepenuhnya, ada kawasan-kawasan yang masih berada pada tangan kumpulan-kumpulan penentang kerajaan Syria.

Namun begitu, ancaman daripada Daesh dapat dibendung dengan anggota-anggota mereka dari negara asing telah mula pulang.

Perang saudara ini bukan saja tragedi bagi negara itu tetapi ia merupakan konflik geopolitik yang mengheret kuasa-kuasa besar dan memecah-belahkan umat Islam di seluruh dunia, bukan saja ia memburukkan imej Islam tetapi ia mengheret pemikiran gerakan Islam kepada suatu kedudukan yang amat meletihkan.

Bagi mereka yang mengambil berat terhadap apa yang berlaku di Syria akan sama ada berasa keliru atau mengambil pendirian yang ada kalanya bersifat taksub.

Penulis sendiri mempunyai pendirian tertentu terhadap apa yang berlaku di Syria tetapi pasti banyak pembaca mempunyai pendapat yang bertentangan dengan hujah masing-masing, yang ada kalanya dibawa secara beremosi. Ia dapat dilihat daripada posting dan komen dalam edia sosial.

Bukan saja terdapat pandangan berbeza dalam gerakan Islam. Malah dalam Parti Amanah Negara sendiri tentunya mepunyai pendirian pelbagai terhadap apa yang berlaku di Syria.

Bagi mencari jalan keluar daripada keadaan ini, apa yang perlu dilakukan ialah memiliki sikap terbuka dengan memahami bahawa parti menampung segala pendapat.

Suasana emosi berhubung dengan Perang Saudara Syria menjadi bertambah tajam kerana ia dikaitkan dengan mazhab, malah hingga kepada soal akidah. Maknanya ia sudah melangkaui soal ideologi.

Sedangkan pada awalnya ia bermula dengan hakikat bahawa rejim Presiden Bashar Assad yang menyambung pemerintahan bapanya, Hafez Assad adalah berasaskan pada nasionalisme kiri aliran Baathisme.

Sementara penentangnya, Free Syrian Army yang lahir melalui kerangka Arab Spring meperjuangkan demokrasi.

Apa yang menjadi ancaman kepada keselamatan dunia termasuk Malaysia adalah penyertaan Daesh yang berupa pengganas dari negara-negara luar.

Daesh membawa fahaman yang berbentuk bunuh diri dengan melakukan pemenggalan kepala mangsa di atas pemikiran kejam diselindungi di sebalik ajaran pelik atas nama agama.

Perang Saudara Syria telah mengheret penglibatan kuasa-kuasa besar iaitu Amerika Syarikat dan Rusia, serta kuasa serantau iaitu Iran, Arab Saudi dan Turki. Bukan itu saja, ia juga mengheret masuk Israel dan Qatar.

Sementara medan perang Syria itu mencakupi juga Iraq, dengan pernah satu masa, wilayah penguasaan Daesh meliputi daerah-daerah mereka.

Sepanjang perang itu, serangan Israel terhadap Palestin di Gaza tetap diperhebatkan.

Presiden Donald Trump memenangi pilihan raya presiden. Beliau memindahkan kedutaan Amerika dari Tel Aviv ke Baitulmakdis sekali gus mengiktiraf penguasaan rejim Zionis ke atas kota Al-Quds itu.

Bukan itu saja, Israel meminda perlembagaannya untuk mengisytiharkan negara itu entiti Yahudi selanjutnya meletakkan orang Arab sebagai warga kelas kedua.

Dalam pada itu Trump telah memansuhkan persetujuan Amerika dengan Iran berhubung nuklear dan sekatan ekonominya.

Sementara itu, para pengkaji arkeologi Israel aktif menggali di bawah Masjid Al-Aqsa untuk mengukuhkan lagi naratif Zionisme mereka. Sementara pengunjung muzium Israel dari Amerika dan Eropah terus meningkat.

Adalah kepentingan Zionis untuk melemahkan Syria, Iraq, Libya, Mesir dan Iran serta merendahkan khazanah-khazanah warisan orang Arab di seluruh Timur Tengah termasuk Yaman.

Maka aliran agama dan fahaman politik yang tidak menghargai kesan-kesan sejarah, malah memusnahkannya terutamanya ke atas khazanah umat Islam membantu agenda Israel untuk terus menguasai Palestin dan Timur Tengah.

COMMENTS