Malaysia Dateline

Bina semula, tambah baik bangunan sekolah mesti melalui JKR Sarawak,kata kementerian pendidikan

Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak hari ini menjelaskan bahawa semua projek bagi tujuan membina semula atau menambah baik bangunan sekolah yang menerima peruntukan daripada kerajaan negeri hendaklah dilaksanakan menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak.

Kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini berkata mereka merupakan agensi-agensi pelanggan yang terlibat dalam penyediaan kertas cadangan, skop kerja dan bidaan untuk pembiayaan projek.

Bagaimanapun, katanya semua proses dan prosedur bagi pelaksanaan projek-projek itu akan dilakukan oleh JKR Sarawak dan menambah, ia termasuk pelantikan pakar runding, penyediaan dokumen tender dan spesifikasi kerja.

Kenyataan itu juga menyebut, bagi pembinaan dan penempatan semula SK Ulu Segan, Bintulu, panggilan untuk tender terbuka ialah pada 10 Nov, manakala bagi SK Maludam, Betong, ia akan diiklankan pada 17 Nov.

“Kedua-duanya adalah tender terbuka dan akan mematuhi prosedur pemerolehan negeri dengan ketat.

“Keseluruhan prosesnya dari teka bentuk, tender dan pemberian tender, pengurusan projek, pengawasan sehinggalah kepada pengeluaran sijil projek telah disiapkan akan dikendalikan oleh JKR Sarawak. Ini adalah amalan biasa di negeri ini,” tambah beliau.

— BERNAMA