Bina tanpa kebenaran, DBKL arah pemberhentian kerja pembinaan kuil

Oleh MALAYSIADATELINE

Sepatutnya setiap pembinaan dibuat di atas tanah sendiri dan diberi permit, namun kini banyak yang bina dahulu, mohon kebenaran hanya selepas siap.

Terbaru media melaporkan sekumpulan penduduk dan badan bukan kerajaan (NGO) membantah pembinaan sebuah kuil terletak kira-kira 10 meter daripada sebuah surau.

Pihak ini juga membuat dakwaan bahawa kuil di Jalan Rahmat Off Jalan Ipoh, Kuala Lumpur juga dibina secara haram lapor Harian Metro.

Dalam satu kenyataan, DBKL memaklumkan pihaknya sudah mengeluarkan beberapa notis berkaitan struktur kuil yang dibina atas tapak milik persendirian.

“Struktur sementara ini adalah untuk kegunaan peribadi pemilik dan bukan untuk awam.

“Pemilik turut memberi jaminan struktur sementara ini akan dialihkan dan mereka akan mematuhi semua peraturan DBKL.

“DBKL juga mengarahkan pemilik untuk mengemukakan permohonan kebenaran merancang secara rasmi untuk pertimbangan,” katanya.

Pada masa sama, DBKL juga mengeluarkan beberapa notis penguatkuasaan di bawah Akta 267 dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Ini adalah termasuk arahan Stop Work Order dan tindakan penutupan terhadap struktur tersebut.

Pemeriksaan di tapak itu juga mendapati kerja pembinaan struktur sementara berkenaan sudah dihentikan.

“Hasil perbincangan DBKL dengan pemilik pada 7 April, dimaklumkan struktur sementara itu adalah penempatan sementara,” jelas kenyataan itu.

Baca juga: Dulu berangan nak rumah dua tingkat tapi mak tak bagi, bila dah tua baru faham kenapa…