Malaysia Dateline

‘Binatang politik’: Pemimpin Umno berang serang Faiz Na’aman

Beberapa pemimpin Umno bersuara secara lantang mengecam Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Muhammad Faiz Na’aman yang sebelum ini menggelar pemimpin “kluster mahkamah’ Umno sebagai “binatang politik”.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Armand Azha Abu Hanifah menegaskan Faiz sebagai kurang ajar dan “anjing salakan politik”.

“Tindakan ‘barking dog’ MPT Bersatu Muhammad Faiz Na’aman amat memalukan dan dilihat kurang bijak walaupun akan ada yang menganggapnya sebagai hak dan kebebasan bersuara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Armand menyifatkan Faiz seharusnya belajar menghormati kepimpinan Umno yang membantu membina kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Terdahulu, Faiz menggelar “kluster mahkamah” Umno sebagai binatang politik yang memperalat ketuanan Melayu demi kepentingan peribadi.

“Kluster Mahkamah ialah sekelompok binatang politik (biasanya berumur) yang sudah terlalu lama menjadi warlord dalam arena politik negara.

Armand Azha Abu Hanifah

“Mereka menjadikan wadah ‘ketuanan Melayu’ sebagai tirai untuk melindungi ketamakan serta kepentingan peribadi dan kelompok kecil lingkungan mereka sahaja, hampir seperti modus operandi kartel projek yang dibanteras oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Armand yang juga Ketua Umno Bahagian Subang menggesa Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar mengambil tindakan atas keceluparan Faiz.

“‘Anjing salakan’ ini harus faham dan terima kenyataan penubuhan kerajaan PN ini adalah kerana sokongan Umno.

“Tanpa sokongan Umno tidak mungkin Presiden Bersatu boleh menjadi Perdana Menteri Malaysia,” tegasnya.

Sementara itu, seorang lagi Ahli MT Umno, Razlan Rafii mengibaratkan Bersatu sebagai “kandang kepada binatang politik” yang kehilangan tuan.

Mengecam Faiz dengan menganggapnya sebagai biadab dan keterlaluan, Razlan menyifatkan pemimpin Bersatu itu sebagai seorang pemimpin yang tidak sedar diri.

“Sebelum mengeluarkan kenyataan biadab, dia harus sedar bahawa kerajaan PN terbentuk dengan sokongan Umno.

“Bahkan lebih daripada itu, Bersatu juga dikuatkan dengan bekas pemimpin Umno yang lari melompat parti selepas BN tewas.

“Jadi, Muhammad Faiz sepatutnya sedar diri,” ujarnya lagi sambil mengingatkan bahawa pemimpin kluster mahkamah itu jugalah yang turut membantu menegakkan kerajaan PN.

Razlan Rafii