Malaysia Dateline

Bincang dengan sekolah jika hadapi masalah lunas bayaran persekolahan, kata Exco Melaka

Ibu bapa yang menghadapi masalah melunaskan bayaran persekolahan dinasihat berbincang dengan pihak pengurusan sekolah atau guru kelas, kata Exco Pendidikan, Modal Insan, Sains dan Inovasi Melaka Datuk Noor Effandi Ahmad.

Beliau berkata ibu bapa boleh menjelaskan bayaran bagi perkara yang lebih penting dan selebihnya boleh dilunaskan secara berperingkat seperti Yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), dan majalah sekolah.

“Bayar yang penting dahulu. Maklumkan kepada guru kelas bahawa ada bayaran yang akan dilunaskan kemudian secara berperingkat kerana yang penting, anak-anak kita dapat meneruskan proses mencari ilmu seperti biasa dan tanpa gangguan.

“Pelaburan demi pendidikan anak-anak adalah pelaburan terpenting dalam hidup kita dan bersusah dahulu, moga kelak ianya membawa kesenangan dalam hidup kita pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata berkata kerajaan telah menyediakan pelbagai bantuan bagi meringankan beban kewangan ibu bapa menjelang sesi persekolah antaranya yuran pengajian atau pembelajaran percuma untuk murid darjah satu hingga pelajar tingkatan lima di semua sekolah kerajaan.

Katanya buku teks juga diberikan percuma dan pelbagai yuran seperti yuran Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia, kertas ujian dalaman, sukan tahunan sekolah, Kegiatan Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral, kokurikulum dan bayaran insuran takaful telah dimansuhkan.– BERNAMA