Malaysia Dateline

Bincang masalah negara di Parlimen, bukan melalui media sosial

Rakyat melalui wakil mereka dan kerajaan perlu membincangkan masalah negara sekarang melalui Parlimen dan bukannya melalui media sosial kerana itulah ditetapkan oleh Perlembagaan Negara.

Atas sebab itulah, Ketua Pejuangnita (Penaja), Datin Paduka Che Asmah Ibrahim berkata, Parlimen perlu kembali bersidang segera dan sistem demokrasi berparlimen dihidupkan.

“Yang Di-Pertuan Agong pada bulan Februari tahun ini telah menyatakan bahawa Parlimen dibenarkan kembali bersidang ketika tempoh darurat.

“Masalah rakyat perlu dibincangkan di Parlimen dan diambil tindakan, bukan dibincangkan di media sosial dan Menteri juga menjawab dalam media sosial.

“Perbelanjaan wang negara perlu dibuat dengan telus dan bukan berselindung di sebalik situasi darurat. Rakyat perlu kepada sistem komunikasi yang jelas dan boleh difahami,” kata beliau dalam satu kenyataannya hari ini.
.
Beliau juga mengajak para pemimpin negara dan ahli politik perlu ketepikan perbezaan politik dalam menangani krisis kesihatan awam yang paling besar yang pernah melanda negara setakat ini.

“Beban dan tanggungjawab pemulihan negara ini bukan hanya berada di atas bahu para pemimpin semata-mata, malahan setiap seorang daripada kita.

“Kami percaya rakyat bersedia membantu kerajaan dalam usaha mengekang wabak dengan cara melaksanakan sekatan pergerakan kendiri sekiranya arahan yang diberi jelas dan tidak merumitkan,” katanya.