Malaysia Dateline

Bincang segera garis panduan media lebih adil dan saksama

Wakil Rakyat dan Senator Pembangkang menuntut perbincangan segera bagi merangka garis panduan media yang lebih adil dan saksama.

Dalam satu kenyataan yang menyenaraikan 76 wakil rakyat dan Senator menyatakan keprihatinan dan kegusaran
di atas keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Malaysiakini.

“Keputusan ini memberi mesej yang amat membimbangkan kepada rakyat Malaysia bahawa kebebasan media dan hak bersuara yang dijamin Perlembagaan Persekutuan semakin dikekang.

“Media adalah salah satu tiang seri demokrasi. Kebebasan media merupakan salah satu benteng demokrasi yang sihat.

Menurut pembangkang, media yang bebas dan berani menjamin ketelusan dan wacana awam yang tidak berat sebelah.

“Oleh itu, amatlah penting hak bersuara wartawan dan pengamal media diberi perlindungan oleh undang-undang dan pihak kehakiman.

“Pandangan kritis dan perbahasan umum berkenaan pelbagai isu, kecuali yang disekat undang-undang, tidak harus dihukum secara keterlaluan,” katanya.

Mereka juga berpandangan ianya tidak munasabah dan tidak adil untuk mempertanggungjawab sesebuah portal berita di atas pandangan pembacanya.

“Tidak boleh dinafikan bahawa portal berita tersebut telah memadam komen-komen yang menyinggung perasaan 12 minit selepas komen-komen tersebut dibawa ke perhatian pihak pengurusan portal.

“Kerjasama penuh telah diberi untuk memadam komen-komen tersebut.

Justeru mereka menuntut perbincangan segera di antara pengamal media, masyarakat sivil, agensi kerajaan, ahli-Ahli Parlimen, Jabatan Peguam Negara dan pihak Kehakiman, untuk merangka garis panduan media yang adil dan berasaskan hak.

“Oleh itu, kami menyokomg penuh gesaan Majlis Peguam agar digubal undang-undang khusus untuk menentukan takrif ‘penghinaan’ secara teliti, yang seterusnya akan menjadi panduan berguna untuk menegakkan hak bersuara dan kebebasan media,” katanya.