Malaysia Dateline

Bingung tengok pemandu Exora ini, dia yang lawan arus, dia yang maki orang

Tular satu rakaman kamera papan pemuka (Dashcam) memaparkan seorang pemandu Proton Exora bertindak melawan arus dan memasuki lorong bertentangan sehingga hampir menyebabkan kemalangan.

Menerusi rakaman yang dikongsi di laman DashCam Owners Malaysia, dapat dilihat keadaan jalan agak sesak dengan banyak kereta berbaris. Namun tiba-tiba sebuah Proton Exora keluar dari barisan tersebut dan memasuki lorong bertentangan yang bukan laluannya.

Pemandu Exora itu dirakam membunyikan hon dan mengeluarkan kata kesat terhadap pemilik dashcam dengan memanggilnya ‘bodoh’ ketika berselisih di tepi.

Perbuatan tersebut menyebabkan ramai kebingungan kerana pemilik dashcam sememangnya berada di laluan yang betul.

“Dia yang lawan arus, marah orang pula…,” tulis pengguna Facebook yang memuat naik rakaman berkenaan.

Rakaman berkenaan sehingga kini meraih hampir 2,000 tanda suka dengan rata-rata mengecam pemandu Exora tersebut dan menggesa pihak berkuasa untuk segera mengambil tindakan.

“Proton exora VHG1854. Memandu lawan arah dan bahaya. Cermin gelap mungkin tak ikut standard JPJ. Biadap, berlagak gangster dan memaki kepada mangsa, sila ambil tindakan yang sepatutnya pada pemandu ini. Dalam kereta mangsa ada kanak-kanak lagi,” komen pengguna lain.

Baca juga: Majlis perkahwinan kecoh 150 polis Israel guna bom, gas pemedih mata tahan pengantin wanita Palestin

Baca juga: Tiada kerjasama dengan pengkhianat, tegas Wanita Harapan