Malaysia Dateline

Bintang pecah lima, abu mayat Chin Ping melukakan hati rakyat, ahli keluarga pejuang komunis, kata Lokman Adam

Datuk Lokman Noor Adam menyifatkan tindakan segelintir rakyat yang membawa pulang abu mayat Ching Peng dan menukar bendera Jalur Gemilang kepada bintang lima jelas melukakan hati majoriti rakyat negara ini.

Pengerusi Sekretariat Suara Rakyat itu berkata, dua kejadian yang berlaku itu jelas melukakan hati ahli keluarga yang pernah terkorban atau cedera akibat keganasan komunis di negara ini.

“Sungguhpun kami kecewa dengan tindakan biadap mengiktiraf dan cuba menghidupkan semula ideologi komunis ini, Sekretariat Suara Rakyat tidak akan membazir masa membuat sebarang laporan polis berhubung isu ini.

“Ini adalah disebabkan, sebarang laporan polis yang dibuat keatas manusia yang biadap dan tidak sensitif ini sudah pasti tidak akan diambil sebarang tindakan oleh Jabatan Peguam Negara yang diketuai oleh bekas Peguam Ketua Komunis Malaya, Ching Peng.

“Hanya ada satu cara bagi rakyat menghukum mereka yang membawa masuk abu mayat Ching Peng dan mereka yang menghina bendera negara ini iaitu dengan menolak terlebih dahulu Perdana Menteri dan Kerajaan Pakatan Harapan yang telah memaksa DYMM SPB Yang DiPertuan Agong Sultan Muhammad V untuk melantik Tommy Thomas sebagai Peguam Negara,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Lokman yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata, Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini konsisten dengan pendirian tidak membenarkan abu mayat Ching Peng, Ketua Komunis Malaya dibawa pulang ke tanahair.

“Ini disahkan sendiri oleh Datuk Aziz Jamman, Timbalan Menteri Dalam Negeri dan beliau juga menegaskan bahawa pendirian KDN kini kekal sama.

“Membenarkan abu mayat Chin Peng dibawa balik ke negara ini membawa banyak maksud dan natijah yang sangat buruk dan tragis kepada negara dan rakyat negara ini.

“Ini bukan soal membawa pulang abu mayat seorang lelaki Cina atau seorang bukan Islam. Ini soal membawa masuk abu mayat seorang ketua pengganas yang bertanggungjawab terhadap pembunuhan lebih dari 10,000 orang rakyat Malaysia berbilang kaum khususnya pejuang-pejuang tanah air kita daripada pihak Polis, Tentera, Ranger dan pelbagai pihak lain termasuk orang awam.
,” ujarnya lagi.

Seperti dilaporkan Malaysiakini, memetik kenyataan kumpulan pengurusan abu mayat Chin Peng dibawa pulang oleh mereka dari Thailand ke Malaysia dua bulan lalu dan ditabur ke laut dan gunung di tanah kelahirannya dan sebahagian lagi di kawasan hutan di banjaran Titiwangsa tanpa sebarang tugu dibuat sebagai mengenang tapa-tapak itu.

Semalam Setiausaha Agung Umno Annuar Musa yang diminta mengulas isu sama berkata, apabila seseorang itu sudah meninggal dunia tidak ada bezanya sama ada dia adalah Chin Peng atau orang lain.

“Chin Peng atau sebagainya serupa saja. Bila dah mati sama saja. Yang kita susah dengan orang hidup.

“Jadi kita tak ada masalah sebab kita tak ada kuasa (authority),” katanya.

Semalam Timbalan Menteri Dalam Negeri, Azis Jamman dilaporkan Harian Metro mengesahkan pihaknya tidak menerima sebarang permohonan membawa pulang abu mayat Chin Peng ke negara ini selepas kerajaan menetapkan keputusan mengenai larangannya sebelum ini.