BioUsahawan 2019 berlangsung Jumaat dan Sabtu ini

BioUsahawan 2019 berlangsung Jumaat dan Sabtu ini
Datuk Salahuddin Ayub (tengah) memberitahu platform strategik bagi usahawan tempatan, syarikat permulaan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat untuk berdagang serta mempromosikan produk dan perkhidmatan.

Julung kalinya, Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani (MOA) dan Malaysian Bioeconomy Development Corporation Sdn Bhd (Bioeconomy Corp) akan mengadakan program BioUsahawan 2019 pada Jumaat dan Sabtu ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, BioUsahawan 2019 adalah program yang diadakan dalam usaha menyediakan platform strategik bagi usahawan tempatan, syarikat permulaan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat untuk berdagang serta mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka.

“Kami ingin mencipta agropreneur moden dan kompetitif yang dapat mempelbagaikan keluaran pertaniannya, menghasilkan produk bernilai tinggi dan yang paling penting, meningkatkan pendapatan tahunan mereka.

“Setelah 13 tahun mereka (Bioeconomy) bersama dengan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim (MESTECC), maka hari ini mereka telah bersama dengan MOA. Kita juga ke arah merealisasikan hala tuju pertama.. kalau boleh semua sektor dalam MOA ini kita mahu modenkan.

“Di samping itu, bagi mewujudkan usahawan yang maju dan kompetitif di negara ini, MOA telah menetapkan sasaran jualan tahunan sebanyak RM900 juta oleh usahawan industri asas tani pada tahun ini.

Beliau berkata demikian pada pra-sidang media BioUsahawan 2019 di Lembaga Pertubuhan Peladang yang turut dihadiri Ketua Setiausaha kementeriannya, Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corp, Dr Mohd Shuhaizam Mohd Zain berkata, BioUsahawan dapat memperkasakan usahawan untuk mewujudkan produk dan perkhidmatan berasaskan bio dan agro yang berkualiti dan ditambah nilai di samping meningkatkan pelaburan swasta dalam pertanian secara komersial.

Beliau berkata, BioUsahawan 2019 menawarkan program yang dapat membangunkan kemahiran usahawan, termasuk Halal Boost iaitu program bimbingan untuk mendapatkan sijil halal bagi produk bio/bioteknologi.

“Di samping itu, kita juga melihat daripada segi bentuk pelaburan. Kebanyakan rakan kita atau pelabur dari luar negara ingin melabur di negara kita dalam bidang agrikultur.

“Berdasarkan potensi itu, kami menyediakan satu platform (BioUsahawan 2019) yang mana mereka secara langsung boleh bertukar maklumat dan menjalinkan kerjasama dari segi pelaburan strategik antara dua hala.

“Itu adalah antara objektif yang kami berikan perhatian dalam BioUsahawan 2019 pada kali ini,” katanya