Biro Disiplin AMK memandang serius tangkapan ahli parti

Biro Disiplin AMK memandang serius tangkapan ahli parti

Biro Disiplin Angkatan Muda Keadilan (Biro Disiplin AMK) hari ini memandang serius dakwaan bahawa salah seorang ahlinya ditahan polis dalam satu kejadian awal pagi ini.

Pengerusinya P Arvindran berkata, terdapat dakwaan salah seorang yang ditahan adalah Mohd Akmal Hisyam Ahmad Tamyiz, merupakan Anggota Majlis Pimpinan Pusat Angkatan Muda PKR.

Justeru katanya, Biro Disiplin AMK memandang serius terhadap perkara ini dan akan mengkaji sama ada terdapat perlanggaran Kod Tata Etika Anggota, mana-mana peruntukan Perlembagaan Parti atau Peraturan AMK dalam kes ini sementara menunggu kenyataan media dari pihak polis.

“Biro Disiplin AMK sentiasa komited dalam memastikan semua anggota parti tidak terlibat dalam jenayah dan sentiasa mematuhi undang-undang negara,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular seorang Adun Selangor dan empat pegawai khas ahli politik antara 17 individu ditahan polis dalam satu operasi disebuah kelab di Damansara.

Dalam satu tular lain pula, mereka berusia antara 26 hingga 53 tahun termasuk enam wanita itu dikatakan ditahan pada 4.45 petang semalam di sebuah kondominium di Jalan Puchong.

Menurut sumber, penahanan itu berpunca daripada laporan terhadap bunyi bising daripada sebuah parti persendirian di kondominium terbabit.

Pihak polis juga dilaporkan akan mengadakan sidang media mengenai kejadian tangkapan tersebut petang ini.