Malaysia Dateline

Biro IT Umno perhebat persiapan hadapi PRU14

Biro IT Umno memperhebat persiapan menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14 dengan memastikan penubuhan Biro IT dan media sosial di setiap cawangan.

Pengerusinya Datuk Ahmad Maslan berkata, Umno kini sudah bersedia untuk memulakan langkah seterusnya bagi menghadapi ‘peperangan’ itu.

Dahulu peperangan menggunakan senjata seperti keris, parang, pistol dan sebagainya, kini telefon pintar dan komputer riba
menjadi senjata ‘peperangan’ PRU14, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Jawatankuasa Biro IT UMNO Bahagian Keningau dan Pensiangan, di sini semalam.

Seramai 100 jawatankuasa IT dan Media Sosial di kedua-dua bahagian itu menghadiri program yang turut disertai oleh Ketua UMNO Bahagian Keningau Datuk Sairin Karno.

Ahmad berkata sebahagian besar UMNO bahagian di seluruh negara telah menubuhkan biro IT masing-masing.

Mengulas lanjut, beliau berkata fungsi biro-biro IT di peringkat cawangan ialah untuk memerangi serangan pembangkang, selain sebagai saluran kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) menyampaikan dasar-dasar yang baik kepada rakyat dan pengundi.

Sebagai contoh, apabila ditularkan kononnya 40,000 rakyat Bangladesh menjadi pengundi di negara kita untuk mengundi BN pada sebelum PRU13, tidak ada jawapan (segera) dibuat sehingga menjadikan orang marah kepada kerajaan, katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata pada kali ini, sekiranya isu seperti itu ditimbulkan sekali lagi, jentera Umno di 191 bahagian sudah bersedia menjawab fitnah tersebut.