Biro Kebajikan AMANAH manfaat peranan JKM bantu salur maklumat demi rakyat

Biro Kebajikan AMANAH manfaat peranan JKM bantu salur maklumat demi rakyat

Biro Kebajikan Parti AMANAH Negara (AMANAH) mengorak selangkah dalam kerja kebajikan dan kemanusiaan apabila memanfaatkan peranan agensi dan jabatan kerajaan antaranya dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)  bagi memastikan peruntukan menepati golongan sasaran.

Pengerusinya Hasanuddin Mohd Yunos berkata, kini semua Parlimen dan Dun yang diwakili pimpinan AMANAH di peringkat negeri dan pusat akan bekerjasama untuk menyalurkan maklumat kepada biro kebajikan untuk memastikan agensi dan jabatan kerajaan memperoleh maklumat tepat mengenai golongan sasaran.

“Teman-teman yang telah berjaya menjadi wakil rakyat di negeri dan parlimen, mereka boleh memanfaatkan agensi dan jabatan kerajaan dengan kerjasama biro kebajikan parti.

“Dulu kita sebagai biro parti yang bukan memerintah tidak ada autoriti dan kuasa, jadi kita bekerja  tida ubah seperti NGO kebajikan lain di negara ini.

“Tetapi hari ini Biro Kebajikan AMANAH telah ditingkatkan peranannya sesuai dengan parti yang memerintah (Pakatan Harapan). Jika kita adakan aktiviti kita minta biro kebajikan atau pejabat wakil rakyat dan NGO kebajikan lain untuk bekerjasama dengan jabatan dan agensi kerajaan. Kita gunakan kemudahan dalam kerajaan  untuk menyalurkan  maklumat dan bantuan kepada rakyat secara bersama,” ujarnya kepada Malaysia Dateline di lobi Parlimen hari ini.

Penyerahan cek bantuan kemanusiaan di Palu diserahkan kepada  Pengarah Misi Bantuan Bencana Palu Asim Abdullah.

Beliau ditemui selepas menyerahkan dua keping cek sumbangan peribadi dan rakan-rakan kepada Pemuda Amanah Nasional yang akan menyalurkan bantuan kemanusiaan di Lombok dan Palu yang akan berlepas ke Jawa Timur dan Sulawesi minggu hadapan.

Cek bantuan kemanusian di Palu diserahkan kepada  Pengarah Misi Bantuan Bencana Palu Asim Abdullah dan  Ketua Misi Kemanusiaan ke Lombok Mohd Remy Abdul Rahman.

Menjawab pertanyaan, beliau memaklumkan telah mengadakan lawatan rasmi ke JKM bagi memastikan peruntukan kebajikan itu dapat disalurkan kepada golongan sasaran.

“Di Hulu Langat kita telah adakan lawatan rasmi dan telah kenalpasti peruntukan yang ada di JKM dan kita akan pastikan peruntukan itu turun ke bawah.

“Kita tidak salahkan pegawai kerajaan tetapi maklumat tidak sampai kepada pegawai kebajikan disebabkan masalah teknikal dan lain-lain. Jika JKM di Hulu Langat ada 50 pegawai untuk memantau 3 parlimen dan 6 Dun memang tidak dapat mereka tangani.

“Mereka amat perlu bantuan daripada biro-biro kebajikan parti dan NGO untuk menghulurkan bantuan.

“Saya harap mereka mampu melaksanakan tugas mereka sebagai pegawai agensi kerajaan kerana mereka mempunyai masa kerja yang terhad.

“Tetapi saya mahu memastikan dengan pemantauan dilakukan  biro  kebajikan dengan NGO akan dapat membantu pegawai kebajikan untuk memastikan  dana yang diperuntukkan kepada agensi   terbabit itu menepati sasarannya.

“Jadi kumpulan biro kebajikan parti ini akan ‘melompat’ terus ke JKM  untuk memberikan laporan kepada pegawai  untuk membantu mengenalpasti golongan asnaf yang tercicir daripada senarai JKM  selama ini atau tidak dapat dikesan.

” Kami mengharapkan  ia akan dilaksanakan juga oleh biro-biro kebajikan parti yang lain sebagai semangat dalam Pakatan Harapan.

“Ini kerana kejayaan kami (PH) mengambil alih negara ini atas kesepakatan keempat-empat parti gabungan ini,” ujarnya yang turut menyatakan bantuan kemanusiaan ke Lombok dan Palu turut disertai dikalangan ahli daripada parti gabungan.

Penyerahan cek bantuan kemanusian di Palu diserahkan kepada  Ketua Misi Kemanusiaan ke Lombok Mohd Remy Abdul Rahman.

Setakat hari ini Biro Kebajikan AMANAH menerusi Pemuda AMANAH telah berjaya mengumpul sejumlah RM70,000 bagi membantu mangsa gempa bumi di Lombok dan sebanyak RM30,000 mangsa tsunami di Palu.

Bantuan di Lombok dengan membina 6 buah rumah pasang siap dengan kerjasama Parti Keadilan Sejahtera (PKS) manakala bantuan di Palu dalam bentuk kewangan.

Biro Kebajikan AMANAH sebelum ini juga pernah menyalurkan bantuan kepada mangsa di Syria dan Palestin melalui kerjasama dengan NGO dan kementerian.

Tambah Hasanuddin yang juga Ahli Parlimen Hulu Langat, beliau dan beberapa rakannya dalam parti terpanggil untuk menyalurkan bantuan kewangan kepada mangsa gempa bumi dan tsunami di Lombok dan Palu untuk menyebarluaskan konsep ‘rahmatanlilalamin’ yang diperjuangkan AMANAH agar lebih sejagat.

 

 

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote