Tindakan yang melambatkan proses vaksinasi rakyat di Selangor susulan kenyataan Exco Kesihatan negeri, Dr Siti Mariah Mahmud yang mengingatkan kerajaan Persekutuan bahawa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan terpaksa dihentikan susulan kekurangan bekalan dos vaksin Covid-19 perlu dikecam.
Ketua Komunikasi AMANAH Gombak, Syazmir Hariz Boorazalan berkata, AMANAH Gombak menyokong penuh usaha kerajaan negeri untuk membeli vaksinnya sendiri tanpa menunggu giliran daripada Putrajaya untuk mempercepatkan proses vaksinasi.
Menurutnya, Selangor mempunyai keupayaan kewangan yang besar dan kapasiti tempat serta pengurusan yang lengkap untuk melaksanakannya dengan kadar segera.
“AMANAH Gombak merasa kesal terhadap pelbagai karenah birokrasi yang ditimbulkan oleh pihak Putrajaya dalam hal ini.
“Walaupun selepas gelombang ketiga Covid-19 melanda negara, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak lagi berkongsi data lengkap kepada kerajaan negeri, namun kerajaan negeri berjaya mengenalpasti faktor utama dan solusi terbaik memerangi Covid-19 ini.
“AMANAH Gombak berpandangan negeri Selangor yang mempunyai kepadatan penduduk lebih tinggi berbanding negeri lain harus divaksinasikan secepat mungkin,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Terdahulu, Siti Mariah berkata beberapa PPV di Selangor akan terpaksa memberhentikan pengoperasiannya jika negeri itu tidak menerima bekalan vaksin baharu.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang turut menyifatkan Khairy Jamaluddin sebagai tidak mengetahui masalah sebenar di lapangan.
Naib Presiden AMANAH itu turut mengingatkan Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau agar tidak berbohong mengenai bekalan vaksin.
“Nampak benar menteri (Khairy) tak tahu masalah di bawah. Selangor ada kapasiti untuk buat lebih. Kalau buat begitu, selepas beberapa hari, ada PPV yang kena tutup sementara.
“Jangan berbohong dengan mengatakan bahawa ada bekalan cukup. Berlaku jujur atau hidung anda akan jadi lebih panjang,” katanya merujuk watak Pinocchio dalam cerita kanak-kanak klasik.